Usia PM di bawah 70 tidak ditujukan pada sesiapa

ALOR SETAR 16 Sept. –  Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataan beliau pada sidang media semalam supaya Perdana Menteri ke-11 sewajarnya berumur di bawah 70 tahun tidak ditujukan kepada sesiapa.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu berkata, kenyataan tersebut ditujukan kepada diri sendiri, dengan maksud supaya mencari individu yang lebih muda berbanding beliau yang kini mencecah 78 tahun.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan supaya calon Perdana Menteri sewajarnya seorang yang masih kuat dan gagah.

“Saya jawab kepada pemberita yang umur 70 ke atas macam saya dan Mursyidul Am tak payah dah. Cari yang bawah pada itu yang kuat dan gagah.

“Saya tuju ucapan ini pada saya, bukan pada orang yang lain sama ada yang hidup atau mati. Pilih siapa yang ada ilmu, kebijaksanaan dan kekuatan untuk memajukan negara,” katanya pada sesi penggulungan Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena muktamar itu mengakui beliau tidak layak menggalas jawatan Perdana Menteri atas faktor usianya.

Beliau turut memberi bayangan calon Perdana Menteri yang bakal dinamakan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mestilah mempunyai tubuh badan yang sihat dan berusia di bawah 70 tahun.

Sebelum ini, Perhimpuan Agung Tahunan (PAT) Bersatu meluluskan usul supaya mencadangkan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berusia 78 tahun sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada parti itu.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya, Abdul Hadi, menegur tindakan segelintir individu yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dengan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau memetik kisah Nabi Muhammad SAW yang menasihati para sahabat agar tidak meminta jawatan.

Menurut Abdul Hadi, seorang sahabat dari Yaman pernah datang kepada Rasulullah untuk meminta agar dia dilantik sebagai pemimpin, dan nabi kemudian menjawab: “Demi Allah aku tak melantik orang yang minta jawatan kerana nafsu.”

Katanya, seseorang pemimpin Islam tidak sepatutnya meminta jawatan kerana ia adalah tanggungjawab berat yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Abdul Hadi juga memberitahu para perwakilan Pas bahawa Nabi Muhammad SAW juga pernah memberi amaran kepada seorang sahabat bahawa mereka yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah.

“Kalau kamu minta (jawatan), Tuhan akan biarkan kamu jadi pemimpin (tapi) tak boleh selesai masalah. Janji macam-macam, nak turunkan harga minyak, PTPTN, janji itu, janji ini, akhirnya tak boleh nak buat.

“Itu beban atas kepalanya kerana minta jawatan, (sebab itu) jangan minta,” katanya.

Merujuk kepada satu lagi hadis, Abdul Hadi berkata, Allah sendiri akan menentukan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menjadi pemimpin dan individu tersebut akan menjadi pemimpin apabila tiba masanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment