Giatkan usaha sekatan ke atas Israel

DOHA – Dunia Islam mesti mempergiat usaha diplomatik bagi mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Israel, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata, dunia Islam mempunyai kemampuan untuk menggagalkan cita-cita peluasan Israel, sambil menekankan bahawa rejim itu juga perlu ditekan dari segi ekonomi.

Katanya, Ankara akan terus berjuang sehingga sebuah negara Palestin ditubuhkan berdasarkan sempadan 1967 dengan integriti wilayah dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Erdogan menegaskan demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)-Liga Arab, di ibu negara Qatar, Doha

Katanya, Sidang Kemuncak Arab-Islam susulan serangan Israel minggu lepas merupakan sokongan padu dunia Islam terhadap negara Teluk itu.

Turkiye kata Erdogan sentiasa berdiri teguh bersama Qatar sebagai rakan, sahabat dan saudara, sambil menegaskan Ankara bersedia berkongsi keupayaan industri pertahanannya dengan negara-negara sahabat.

“Kita mesti menggiatkan kerjasama untuk meraih kemenangan dalam dekad akan datang,” katanya.

Menurut Erdogan, serangan Tel Aviv yang menyasarkan pasukan perunding Kumpulan Palestin, Hamas di Qatar telah membawa “kebiadaban Israel” ke tahap baharu.

Beliau menegaskan tidak dapat dinafikan bahawa matlamat Kerajaan Netanyahu adalah untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai dan genosid di Palestin serta menimbulkan ketidakstabilan di rantau ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment