Sasaran menang 80 kerusi dalam konteks PN

JITRA 14 Sept. – Keretakan hubungan MCA dan MIC bersama Barisan Nasional (BN) membuka peluang kepada Perikatan Nasional (PN) mencapai sasaran menang 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada masa sama, terdapat indikator PN berpotensi menang di beberapa negeri lain selain mengekalkan penguasaan di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, beliau berkata ahli UMNO juga dilihat tidak selesa apabila parti itu terpaksa bekerjasama dalam kerajaan Persekutuan bersama DAP, menyebabkan sokongan dijangka beralih kepada PN.

Beliau berkata, apa yang disebut Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah semalam, adalah dalam konteks PN, bukan hanya Pas yakin menang 80 kerusi Parlimen

“Kita kena tengok kekuatan muafakat politik (untuk menang) bukan hanya Pas dan Bersatu sahaja, tapi gabungan dalam PN perlu bekerja keras untuk mencapai matlamat ini.

Bermakna kita perlu perkukuhkan PN di beberapa negeri dan kita ada beberapa indikator yang dilihat berpotensi ke arah itu,” katanya selepas merasmikan Forum Ummah Muslim Antarabangsa (MUNIF) 2025 di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Ammar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ketika sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas menyatakan keyakinan untuk menang 80 kerusi Parlimen pada PRU16.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat menggunakan masalah dihadapi MIC, MCA dan UMNO itu bagi memperkukuhkan kedudukan PN termasuk peluang wakilnya menjadi Perdana Menteri.

“Kita tahu ada rakan kita dalam UMNO sangat tidak selesa dengan kerajaan yang ada ini, mereka sangat tidak selesa dengan tindakan agresif DAP khususnya. Ini termasuk komponen MIC dan MCA.

“Kita boleh tengok macam mana Ahli Parlimen MCA bangun buat kenyataan menentang DAP dalam Parlimen oleh kerajaan, maknanya mereka rasa MCA dan MIC bukan bersama kerajaan.

“Sebab itu mereka anggap kerjasama ini adalah UMNO dan PH. Bukan MCA, bukan MIC. Jadi ini potensi pada kita yang boleh dikembangkan lagi,” katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan parti, beliau berkata, kemenangan tanpa bertanding hampir semua jawatan utama dalam pemilhan Pas tahun ini bukan bermakna parti itu tidak mengamalkan demokrasi.

Sebaliknya, jelas beliau, demokrasi di dalam parti berkenaan bermaksud kesepakatan dalam kalangan ahlinya dan bukan bermakna perlu ada pertandingan.

“Demokrasi bukan makna lawan, ia maknanya kesepakatan. Walaupun ada di antara calon Ahli Jawatankusa Kerja (AJK) Pas Pusat yang dapat pencalonan agak tinggi, tapi dia tarik diri kerana ada fokus lain.

“Contohnya Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), dia menjadi Menteri Besar Kedah dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional.

Dia melihat ada keperluan untuk kita agihkan bidang tugas bukan untuk berebut jawatan, tapi agihkan gerak kerja. Sanusi contoh baik, sebab saya yakin pencalonan dia agak besar tapi dia melihat perlu ada agihan bidang tugas, agihan kerja,” katanya yang menegaskan jawatan bukan untuk direbut, tapi satu amanah.

Pada pemilihan Jawatankuasa Pas Pusat kali ini menyaksikan tiga jawatan utama iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden diumumkan menang tanpa bertanding manakala jawatan AJK Pusat pengundian diadakan esok.

Nnnn.

Related posts

Leave a Comment