Dakwaan tidak bertanggungjawab Israel

DOHA – Qatar menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa negara ini menempatkan pejabat Hamas, sebagai ‘semberono dan tidak bertanggungjawab.’

Semalam, Netanyahu memberi amaran kepada Qatar supaya mengusir pegawai Hamas atau membawa mereka ke muka pengadilan.

“Ini kerana jika anda tidak berbuat sedemikian, kami yang akan melakukannya,” kata Netanyahu sambil menuduh Qatar menyediakan perlindungan dan kewangan kepada Hamas.

Pertelingkahan semakin ‘panas’ itu menyusul selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Qatar, kelmarin, dengan mendakwa ia bertujuan membunuh pemimpin politik Hamas.

Tindakan Israel meningkatkan kempen ketenteraannya di Asia Barat itu telah mencetuskan kecaman antarabangsa dan menjejaskan lagi kestabilan rantau terbabit.

Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan, mengutuk apa yang disifatkannya sebagai ‘ancaman Netanyahu secara terang-terangan untuk mencabul kedaulatan negara ini pada masa depan.’

Netanyahu amat maklum bahawa penempatan pejabat Hamas dilakukan dalam kerangka usaha pengantara oleh Qatar yang diminta oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sendiri.

“Rundingan sentiasa diadakan secara telus dan rasmi, dengan sokongan antarabangsa bersama kehadiran delegasi AS serta Israel,” katanya.

Qatar bersama Mesir menjadi pengantara rundingan damai antara Hamas dengan Israel. Ia sekali gus memberi amaran bahawa serangan Israel ke atas Doha boleh menjejaskan usaha berkenaan.

Ennn

Related posts

Leave a Comment