Netanyahu arah penduduk tinggalkan Gaza

BAITULMUQADDIS – Israel semakin nekad mengusir penduduk Palestin apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan amaran tegas kepada penduduk Kota Gaza untuk segera berpindah.

Netanyahu mengeluarkan amaran itu ketika tentera rejim Zionis itu meningkatkan serangan ke atas pusat bandar terbesar di wilayah Palestin, sebagai persediaan untuk operasi penaklukan darat.

Peningkatan aktiviti pengeboman di Gaza ini berlaku meskipun Israel berdepan gesaan berulang kali daripada negara-negara Barat dan agensi bantuan antarabangsa untuk menghentikan serangan.

Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh pada Isnin, dengan 25 mangsa berada di Kota Gaza.

Amaran Netanyahu itu disiarkan beberapa jam selepas serangan paling berdarah ke atas orang awam di Baitulmaqdis, di mana dua lelaki bersenjata Palestin melepaskan tembakan ke arah sebuah bas, menyebabkan enam warga Israel maut.

Sejurus selepas serangan itu Netanyahu menegaskan kejadian itu mengukuhkan lagi keazaman Israel untuk memerangi keganasan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut memberikan amaran terakhir kepada Hamas.

“Ini adalah amaran terakhir kepada Hamas di Gaza dan di hotel mewah di luar negara, bebaskan tebusan dan letakkan senjata anda atau Gaza akan dimusnahkan dan anda juga akan dimusnahkan,” tulisnya di platform X.

Dalam satu kenyataan video, Netanyahu berkata dalam tempoh dua hari lalu, tentera Israel meruntuhkan 50 menara keganasan, dan ia hanyalah peringkat awal bagi gerakan darat yang lebih hebat di bandar Gaza.

“Saya katakan kepada penduduk, anda telah diberi amaran, pergi sekarang! Semua ini hanyalah permulaan, hanya pembukaan, kepada operasi besar-besaran yang dipertingkatkan.

Kami akan menyusuli dengan gerakan darat pasukan kami yang kini sedang bersiap sedia untuk memasuki bandar Gaza,” katanya.

Related posts

Leave a Comment