Wawasan Kemakmuran Bersama janji PN

SHAH ALAM 7 Sept.   Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan membolehkan rakyat berbilang kaum berkongsi kemakmuran negara secara adil dan saksama akan diperkenalkan jika Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mendapat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, wawasan itu tidak akan meminggirkan agenda Bumiputera akan dilaksanakan.

“Kita juga akan melindungi hak semua rakyat untuk memiliki harta dan menolak segala bentuk undang-undang yang hanya menguntungkan segelintir pemaju seperti Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB),” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, antara perkara lain yang akan dilaksanakan adalah dengan menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Nasional untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menstruktur semula ekonomi Malaysia.

“Fokus majlis ini adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, menggalakkan pelaburan asing khususnya dalam bidang berteknologi tinggi, mengurangkan bebanan hutang negara dan menambah pendapatan rakyat.

“Penciptaan peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak muda akan turut diberikan keutamaan oleh majlis ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di sini, malam tadi.

Menurutnya, dasar percukaian negara dan rasionalisasi subsidi juga akan dikaji semula agar tidak membebankan rakyat dan menyusahkan perniagaan.

“Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) akan dirombak semula untuk memastikan majlis ini dapat berfungsi dengan lebih berkesan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat yang semakin meruncing.

“Dasar Agromakanan Negara dan Keterjaminan Makanan akan dilancarkan semula dengan sebuah majlis khas dibentuk untuk menyediakan pelan dan strategi yang lebih agresif bagi menambah hasil makanan negara,” katanya.

Katanya, satu Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang baharu turut akan diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara mengambil kira perkembangan terbaharu dalam dunia pendidikan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Isu pembangunan sahsiah murid dan budaya buli di sekolah dan institusi pendidikan yang lain akan turut diberikan tumpuan utama,” katanya.

Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi, Muhyiddin berkata, Bersatu bertekad untuk memperjuang hak Sabah terutama dalam mengembalikan 40 peratus hasilnya ke negeri itu selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia akan menjadi sebahagian daripada tawaran Bersatu untuk rakyat Sabah sempena PRN akan datang.

Selain itu, beliau berkata Bersatu dan PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha memacu kemajuan negeri Sabah, membasmi kemiskinan, memperluas kemudahan infrastruktur asas, meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak di Sabah, menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik, menambah pendapatan rakyat dan membela kebajikan rakyat di Sabah.

“Insya-Allah, manifesto lengkap PN di negeri Sabah akan kita umumkan apabila tiba masanya

Insya-Allah, semua kita yang ada di sini dan ahli-ahli parti di luar sana akan turun membantu kempen PRN Sabah. Kita kasi bagus Sabah! Kasi bagus…Sabah! Kasi bagus…Sabah!” katanya.

Muhyiddin mengakui dapat merasakan sentimen rakyat Sabah yang semakin positif kepada gabungan politik itu.

“Dalam beberapa lawatan saya ke negeri Sabah, sambutannya luar biasa…. syabas saya ucapkan kepada Bersatu negeri Sabah khususnya dan semua pimpinan dan ahli parti yang telah turun membantu persiapan PRN Sabah,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment