Selamatkan tebusan sekarang

TEL AVIV – ‘Presiden Trump, selamatkan Tebusan Sekarang’ dan ‘Legasi Trump runtuh selagi perang Gaza berterusan’ adalah antara sepanduk yang dipamerkan dalam himpunan puluhan ribu rakyat Israel di Tel Aviv.

Perhimpunan di dataran awam di luar ibu pejabat tentera itu adalah untuk menggesa secara langsung kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, campur tangan bagi menamatkan perang di Gaza dan pembebasan tebusan.

Semakin ramai rakyat Israel menunjukkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mengarahkan tentera menawan bandar utama Gaza, yang dipercayai menempatkan tebusan.

Keluarga tebusan dan penyokong mereka khuatir serangan ke atas bandar Gaza akan mengancam nyawa orang tersayang, kebimbangan yang turut dikongsi oleh pimpinan tentera, menurut pegawai Israel.

Demonstrasi mingguan di Tel Aviv semakin meningkat dari segi penyertaan, dengan penunjuk perasaan menuntut kerajaan memeterai gencatan senjata bersama Hamas bagi membolehkan pembebasan tebusan.

Satu lagi demonstrasi besar berlangsung di Baitulmuqaddis.

Kini terdapat 48 tebusan yang masih ditahan di Gaza, dan pegawai Israel percaya kira-kira 20 daripadanya masih hidup.

Sementara itu di Britain, polis menahan kira-kira 425 individu, ketika demonstrasi menyokong kumpulan ‘Palestine Action’ iaitu gelombang tangkapan terbaru sejak pertubuhan pro-Palestin itu diharamkan oleh kerajaan sebagai pertubuhan pengganas.

Britain mengharamkan ‘Palestine Action’ di bawah undang-undang anti-keganasan pada Julai lalu, selepas beberapa anggotanya menceroboh pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) dan merosakkan pesawat tentera.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran bangunan Parlimen di tengah London semalam bagi membantah pengharaman itu dengan ramai memegang sepanduk bertulis ‘Saya bantah genosid. Saya sokong Palestine Action’.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment