SHAH ALAM 7 Sept. – Kekecohan yang tercetus ketika beliau menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu semalam menyebabkan Muhyiddin Yassin memanggil mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi membincangkan insiden itu.
Muhyiddin yang kecewa dengan kekecohan itu tidak menduga perkara itu berlaku ketika beliau sedang menyampaikan ucapan dasar penting dan mesyuarat khas MPT itu dipanggil bagi menastikan isu ini tidak diputar belit oleh pelbagai pihak.
Beliau yang sebelum ini mesra dipanggil abah mengakui sedih dan tersentuh apabila membaca laporan media mengenai kekecohan yang berlaku.
“Walaupun saya agak kecewa dan teks kepada MPT (melalui WhatsApp) saya sebutkan ringkas sahaja. Amat memalukan. Apa yang saya sebutkan itu bukan menyentuh kedudukan saya sebagai Presiden.
Tetapi lebih penting sebagai abah, saya tersentuh dan terkesan kerana saya adalah yang terlibat secara langsung dalam penubuhan parti sejak awal,” katanya.
Muhyiddin berkata, apabila berlaku sesuatu hal tidak begitu baik, sebagai abah, beliau menganggap itu adalah perlakuan anak-anak lebih-lebih lagi dengan jumlah anak yang ramai.
“Bila berlaku begitu dalam keluarga, apakah abah tidak akan buat apa apa? Kalau abah tak buat apa-apa bermakna abah tidak bertanggungjawab kerana abah menjaga nama baik keluarga,” katanya.
Bagaimanapun dalam hal ini, Muhyiddin mengimbau kembali bagaimana beliau tidak menggunakan rotan untuk memukul anak-anak tetapi empat anaknya tahu abah mereka marah apabila beliau meninggikan suara.
Dalam erti kata lain, Muhyiddin berkata, walaupun marah tetapi beliau mengambil pendekatan hanya ‘meninggikan’ suara tanpa ‘memukul anak-anaknya’.
Justeru beliau menyifatkan apa yang berlaku semalam sebagai satu titik peristiwa yang sudah berlalu dan berdasarkan ucapan pada sesi perbahasan dan penggulungan hari ini, jelas menunjukkan Bersatu kini benar benar bersatu.
“Kami kekal bersatu, kalau ada pun titik peristiwa ianya sudah pun berlalu dan tidak mungkin berlaku lagi untuk tempoh akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu ketika ditemui pada sidang akhbar berkata, insiden berkenaan dianggap selesai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan parti.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, berkata, sebagai pemimpin nombor satu adalah biasa bagi beliau untuk bersedih dengan kekecohan yg berlaku, namun beliau bersyukur ia kembali stabil.
“Saya tanya dan minta jaminan (MPT) supaya perkara ini tidak berulang pada masa akan datang kerana ia melibatkan imej parti.
Kita selesaikan masalah ini dengan baik dan apa yang berlaku biarlah berlalu. Kita harus melihat ke hadapan untuk mengukuhkan parti,” katanya.
Tambahnya, untuk menjadi kerajaan menunggu, PN khususnya Bersatu perlu memastikan parti utuh dan kekal bersatu.
Nnnn
