Perhimpunan Bersatu fokus hadapi PRU16, PRN

PETALING JAYA 2 Sept. – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada hujung minggu ini akan memberi tumpuan penuh terhadap agenda persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka bakal diadakan tahun depan.

Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkata, Bersatu menjangkakan PRU16 akan diadakan tahun depan mengambil kira beberapa petunjuk jelas termasuk negeri yang akan mengakhiri tempoh penggalnya.

Katanya, dalam perbincangan yang diadakan, Bersatu mendapati banyak faktor yang menyumbang kepada andaian bahawa kerajaan pada hari ini memerlukan mandat baharu dengan jangkaan PRU16 diadakan bersama beberapa PRN.

Justeru perhimpunan kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak dan menilai prestasi di lapangan, meningkatkan latihan jentera di semua peringkat dan mewujudkan kerjasama strategik dengan anggota Perikatan Nasional (PN)

“Hala tuju menghadapi PRU16 akan terangkum di dalam Ucapan Dasar Presiden Bersatu ,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Selain PRN Sabah dan Sarawak yang dijadual akan diadakan hujung tahun ini serta awal tahun depan, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka juga akan berakhir pada penghujung 2026, sementara DUN Johor pada awal 2027.

Mohamed Azmin berkata, isu kos sara hidup; ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan; kesan pelaksanaan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS), juga mendorong untuk kerajaan yang terbentuk ketika ini memerlukan satu mandat yang lebih stabil.

Mengenai PAT kali ini, beliau berkata, ia akan dimulakan dengan Perasmian PAT sayap parti pada pagi Sabtu ini, oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Perasmian PAT oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan diadakan pada Sabtu ini, jam 8.30 malam. Pada Ahad, PAT akan dimulakan jam 8.30 pagi dengan sesi perbahasan dan sesi penggulungan di sebelah petang.

“Seramai 14 perwakilan mewakili negeri-negeri akan membahaskan Ucapan Dasar Presiden, empat perwakilan mewakili sayap-sayap dan dua orang mewakili mahasiswa universiti,” katanya.

Katanya, seramai 2,555 orang perwakilan dari 202 bahagian akan hadiri, termasuk 25 Bahagian di Sabah, 11 Bahagian di Sarawak dan satu Bahagian di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi PRN Sabah, Mohamed Azmin berkata, Bersatu sudah mengenal pasti beberapa kerusi tumpuan yang akan ditandingi di bawah logo PN dan perincian mengenainya  sudah dibentangkan Naib Presiden yang juga Pengerusi Bersatu Sabah, Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata kerusi tumpuan dikenal pasti itu ditentukan berdasarkan kajian serta penelitian yang dijalankan mereka di lapangan.

“Datuk Ronald Kiandee sudah diberikan mandat parti untuk meneliti kawasan tumpuan yang akan diwakili Bersatu dan beliau sudah melaporkan persiapan badan pimpinan Bersatu Sabah berkenaan PRN kali ini.

Bukan saja kawasan tumpuan, tapi calon diangkat sudah dikemuka kepada presiden untuk diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment