Kerugian Rp900 bilion akibat rusuhan

JAKARTA – Jumlah kerugian akibat siri tunjuk perasaan dan rusuhan yang melanda beberapa wilayah di Indonesia dianggarkan mencecah hampir Rp900 bilion (RM285 juta) dengan Jawa Timur dilaporkan mengalami kerosakan paling teruk.

Menteri Buruh, Dody Hanggodo, berkata anggaran itu membabitkan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur yang rosak atau musnah akibat kekacauan yang tercetus sejak minggu lalu.

Ketika ditemui media selepas meninjau kawasan Gerbang Tol Pejompongan di ibu kota Jakarta, hari ini, beliau berkata, jumlah itu meliputi kerosakan ke atas pelbagai infrastruktur termasuk bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang dibakar, gerbang tol, hentian pengangkutan awam dan pelbagai kemudahan lain.

Antara kawasan paling terjejas ialah Jawa Timur, termasuk insiden kebakaran membabitkan Gedung Negara Grahadi, sebuah bangunan berstatus warisan budaya; Pejabat Kantor DPRD Kota Kediri; serta beberapa kemudahan awam lain termasuk stesen dan hentian bas yang turut dibakar.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kerosakan di Makassar, Sulawesi Selatan, selepas bangunan DPRD Makassar dibakar pada malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu lalu.

Protes yang pada asalnya tercetus susulan kemarahan rakyat terhadap kenaikan elaun mewah wakil rakyat, turut merebak menjadi gerakan nasional membantah kekerasan pasukan keselamatan, selepas tularnya video kematian seorang penghantar makanan akibat tindakan polis separa tentera.

Sementara itu, polis menahan 33 individu, disyaki suspek berhubung insiden kebakaran dan kerosakan Gedung Negara Grahadi, Balai Polis Tegalsari serta beberapa balai polis di Surabaya hingga Sidoarjo, Jawa Timur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Jawa Timur, Asisten Komisioner Jules Abraham Abast, berkata daripada jumlah itu, 22 suspek ditahan polis Surabaya, sembilan ditahan polis Jawa Timur dan dua lagi ditahan polis Sidoarjo.

Menurut laporan TribunNews, beliau berkata, suspek terdiri daripada dewasa dan remaja bawah umur.

“Bagi kes membabitkan remaja, mereka diserahkan kepada institusi khas untuk pemantauan sepanjang proses perundangan.

Siasatan mendapati ada yang memang berniat melakukan kerosakan ketika demonstrasi, manakala sebahagian lagi hanya ikut-ikutan kerana pengaruh rakan atau persekitaran,” katanya di Ibu Pejabat Polis Jawa Timur.

Polis turut menemui bom molotov buatan sendiri menggunakan botol kaca, bahan api dan kain, selain beberapa objek lain yang digunakan ketika kejadian.

Menurut Jules, kesemua suspek disiasat mengikut pelbagai seksyen undang-undang, termasuk kesalahan curi, keganasan, pemilikan senjata, menghalang tugas polis, mencederakan orang lain, cubaan membakar serta merosakkan harta benda.

“Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara lebih lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian akibat kebakaran dan kerosakan kemudahan polis di enam daerah serta Balai Polis Tegalsari dianggarkan mencecah Rp124.25 bilion (RM32.05 juta), tidak termasuk kerugian di Gedung Negara Grahadi.

Polis sebelum ini menahan seramai 580 orang dalam rusuhan yang berlaku di enam daerah di Jawa Timur sepanjang 29 hingga 31 Ogos lalu.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment