BAITULMUQADDIS – Pihak berkuasa Palestin mendakwa Israel menjalankan kerja-kerja penggalian rahsia di bawah kawasan Masjid al-Aqsa sehingga merosakkan artifak Islam bersejarah, termasuk tinggalan dari era pemerintahan Bani Umayyah.
Dalam satu kenyataan, Pihak berkuasa Palestin, berkata beberapa rakaman video yang bocor menunjukkan aktiviti penggalian tanpa kebenaran sedang dijalankan oleh pasukan Israel di kawasan yang sering menjadi titik ketegangan.
“Pihak berkuasa Israel dilihat sengaja memusnahkan artifak Islam yang berasal dari zaman pemerintahan Bani Umayyah, yang menjadi bukti hidup dan sahih terhadap hak milik umat Islam ke atas tapak suci berkenaan.
“Israel sedang berusaha memusnahkan tinggalan arkeologi Islam ini dengan tujuan menghapuskan identiti sejarah Masjid Al-Aqsa dan memutarbelitkan fakta bagi menyokong naratif ‘Temple Mount’ yang didakwa,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerja penggalian itu dilakukan secara rahsia tanpa sebarang pemantauan antarabangsa, yang dikhuatiri boleh membahayakan struktur asas Masjid Al-Aqsa serta warisan sejarahnya.
Israel melalui kerja-kerja berkenaan cuba mewujudkan fakta baharu di lapangan bagi melaksanakan agenda penjajahan dan usaha mengambil alih kota suci Baitulmaqdis.
Susulan itu, pihak berkuasa Palestin menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan kebudayaannya, UNESCO untuk campur tangan segera bagi menghentikan pencabulan ini serta memastikan pihak penjajah dipertanggungjawabkan atas jenayah yang dilakukan.
Walaupun lokasi tepat penggalian tidak dinyatakan, Israel sekian lama menjalankan kerja terowong di bawah Masjid Al-Aqsa, tindakan yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada rancangan lebih besar untuk Yahudisasi Baitulmuqaddis Timur.
Di bawah undang-undang antarabangsa, Majlis Wakaf Baitulmuqaddis yang dikendalikan oleh Jordan adalah satu-satunya badan yang berhak menguruskan hal ehwal Masjid Al-Aqsa.
Pada Mac 2013, Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menandatangani perjanjian yang mengiktiraf hak Jordan dalam penjagaan serta mempertahankan Baitulmuqaddis dan tapak-tapak suci di Palestin, termasuk Masjid Al-Aqsa.
Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci dalam Islam, tetapi kaum Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Temple Mount dan mendakwa ia adalah lokasi dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.
Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur, terletaknya Al-Aqsa semasa Perang Arab-Israel 1967.
