Prabowo batal lawatan ke China

JAKARTA –  Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, membatalkan lawatan rasmi ke Beijing yang dijadualkan awal minggu depan susulan ketegangan politik dan protes yang berlaku di republik itu, kata Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas beberapa hari demonstrasi besar-besaran tercetus, susulan bantahan terhadap kenaikan elaun anggota parlimen dan insiden kematian seorang pemandu ojek (motosikal e-hailing) yang ditembak polis.

Setakat ini, sekurang-kurangnya empat kematian dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Prabowo sepatutnya menghadiri perarakan ‘Victory Day’ di China pada 3 September depan sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua selepas penyerahan rasmi Jepun.

Terdahulu bekas Timbalan Menteri Luar Indonesia, Dino Patti Djalal, menggesa Prabowo tidak meneruskan lawatan ke luar negara, susulan protes yang sedang meruncing di seluruh negara.

Prabowo antara 26 ketua negara dan kerajaan yang menerima undangan Presiden China, Xi Jinping, untuk menghadiri Perarakan Hari Kemenangan di Beijing pada 3 September ini.

“Memandangkan pergolakan semakin meningkat dan hati rakyat sedang lara serta resah, saya menyarankan Presiden Prabowo untuk membatalkan lawatannya ke China pada minggu depan,” kata Djalal dalam hantaran melalui media sosial beliau,

Sebaliknya, Djalal berkata, kehadiran Prabowo di China itu boleh diwakilkan kepada Menteri Luar, Sugiono.

Sementara itu, Gabenor Jakarta, Pramono Anung, memaklumkan Menteri Dalam Negeri meminta semua ketua dan pemimpin daerah menangguhkan sementara lawatan ke luar negara serta mengurangkan aktiviti hiburan.

Beliau berkata, arahan itu disampaikan Menteri Dalam Negeri dalam mesyuarat koordinasi bersama ketua daerah seluruh Indonesia yang turut dihadiri barisan kepimpinan di Jakarta , termasuk timbalan gabenor, setiausaha daerah, pembantu pentadbiran, datuk bandar dan ketua jabatan berkaitan.

“Jakarta menyokong penuh arahan itu dan memastikan semua pegawai hanya mengeluarkan kenyataan selaras dengan tugas rasmi supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, semua arahan Menteri Dalam Negeri akan dipatuhi, selain mengingatkan pegawai jabatan berkaitan hanya mengeluarkan kenyataan sesuai dengan tugas dan fungsi masing-masing, supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau menekankan konsep *Jaga Jakarta* memerlukan kerjasama semua peringkat masyarakat, bukan hanya pemerinta

Dalam pada itu, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo memberi jaminan proses undang-undang terhadap tujuh anggota polis yang terbabit insiden yang meragut nyawa penunggang motosikal e-hailing, Affan Kurniawan, akan dilaksanakan dengan segera dan telus.

“Proses siasatan sedang berjalan. Saya sudah arahkan supaya ia diselesaikan dengan cepat. Prosiding tatatertib mesti siap dalam tempoh seminggu,” katanya.

Beliau menegaskan, penyelesaian kes berkenaan menjadi keutamaan bagi memberi kepastian undang-undang kepada orang ramai serta menangani kebimbangan yang semakin meningkat.

Menurutnya, selain prosiding tatatertib, tindakan undang-undang lain juga akan diambil sekiranya terbukti wujud salah laku yang memerlukan tindakan tegas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment