AMPANG 29 Ogos – Pengguna Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) fasa pertama yang menghubungkan Sungai Long ke Ampang akan menikmati tol percuma selama sebulan mulai pukul 6 pagi 30 Ogos sehingga 11.59 malam 30 September ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan demikian pada perasmian pembukaan Seksyen Satu Persimpangan Bertingkat Sungai Long ke Persimpangan Bertingkat Ampang Lebuhraya EKVE di Plaza Tol Ampang di sini, hari ini.
Katanya, pengecualian itu adalah sempena pembukaan rasmi dan sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau juga berharap pembinaan jajaran Seksyen 2 Lebuhraya EKVE dapat disiapkan segera demi kemudahan rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Saya berharap Menteri dan KSU dapat memantau dan memastikan projek-projek berjalan dengan baik mengikut jadual supaya mutu projek itu memenuhi matlamat asal kita. Bukanlah kita nak cepat, tapi mutu pembangunan itu sangat penting,” katanya.
Lebuhraya EKVE Seksyen Satu merupakan lebuh raya dua lorong dua hala dengan empat persimpangan bertingkat yang menghubungkan Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat, Ampang dengan empat plaza tol dan dua hentian sebelah.
Jajaran lebuh raya sepanjang 39.66 kilometer itu merupakan sebahagian daripada laluan Sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) di bahagian Timur yang berfungsi menyuraikan aliran trafik di pinggir Lembah Klang, tanpa melalui pusat bandar Kuala Lumpur.
Dengan pembukaan jajaran itu, pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih mudah dari Kajang dan Semenyih ke Hulu Langat, Bandar Mahkota Cheras dan Ampang, serta sebaliknya.
la juga menyediakan sambungan ke Lebuhraya Kajang-SILK dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Ampang.
Jaringan perhubungan yang lebih baik tersebut akan menjadi lebuh raya alternatif kepada pengguna bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Pengguna lebuh raya berkenaan dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Ampang ke Sungai Long-Kajang dan sebaliknya sehingga 20 minit.
Nnnn
