Teringat lelaki tua tidak hormat bendera ditendang

PUTRAJAYA  28 Ogos – Bendera adalah simbol utama kedaulatan sesebuah negara yang merdeka dan kemuliaannya perlu dipertahankan sekalipun jika perlu menggadai nyawa, kata  Dr Mahathir Mohamad.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, mana-mana negara yang mencapai kemerdekaan, antara perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuat

bendera baharu.

Dalam hal ini, Dr Mahathir menarik perhatian apabila Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahma Putra al-Haj melaungkan Merdeka sebanyak tiga kali, bendera Union Jack diturunkan dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

“Ini bermakna bendera adalah simbol yang melengkapkan kemerdekaan itu kerana jika bendera penjajah diturunkan dan tidak diganti dengan bendera kita, tidak lengkaplah proses kemerdekaan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, hari ini ada rakyat  yang mempamerkan bendera negara secara terbalik dan menyatakan bahawa ianya satu kesilapan dan perlu dimaafkan, tidak harus diperbesar-besarkan.

“Peristiwa ini memperlihatkan kita tidak sedar betapa tingginya kedudukan bendera negara. Jika masih ada rakyat tidak sedar betapa besar makna bendera Malaysia, mereka hanya perlu melihat betapa Raja-Raja sekalipun, akan berdiri tegak apabila lagu kebangsaan dimainkan dan bendera dikibarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Program Dialog Merdeka Kepimpinan Malaysia Dalam Menghadapi Krisis di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Sebelum itu tiga panel menyertai Dialog Merdeka terdiri daripada Dr Syed Hamid Albar,  A. Kadir Jasin dan Prof  Dr Sivamurugan Pandian manakala moderator Eddin Khoo.

Dr Mahathir turut mengimbas kembali pengalamannya di Alor Setar, Kedah melihat seorang  lelaki tua ditendang askar Siam kerana tidak menghormati bendera mereka diturunkan dan lagu Kebangsaan Thai dimainkan.

“Semasa Perang Dunia Kedua, Jepun yang menakluki Tanah Melayu menyerah  Kedah kepada Siam. Setiap petang, pihak berkuasa Siam mengarah semua orang berdiri tegak apabila bendera diturunkan dan lagu Kebangsaan Thai dimainkan.

Suatu petang, ketika berjalan berhampiran Balai Polis Alor Setar, saya terdengar lagu Kebangsaan Thai dimainkan dan saya terus berhenti terpacak.

Seorang lelaki tua berbasikal melintas kawasan tersebut dan tidak perasan semua orang berdiri tegak dan terus mengayuh perlahan-lahan melintasi kami. Selesai sahaja lagu itu seorang askar Siam mengejar lelaki tua itu dan tendang kepalanya dengan kuat. Lelaki tua itu jatuh di atas jalan raya dan tidak bergerak,” katanya.

Katanya, peristiwa itu kekal di dalam ingatannya dan hingga hari ini, apabila terkenang peristiwa itu, beliau sebak kerana hinanya bangsa kita, seolah-olah tidak ada maruah diri, sehingga boleh ditendang sesuka hati oleh bangsa asing.

Dr Mahathir juga mengingatkan bahawa kemerdekaan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah kerana ia perlu dibayar dengan harga yang mahal.

Katanya, dalam kalangan rakyat hari ini, ada yang melihat kemerdekaan yang dicapai melalui perbincangan dan perundingan, tanpa perlunya menumpah darah seperti yang dilalui oleh banyak negara lain.

“Di sini kita silap kerana benih-benih mahukan kemerdekaan dan kebebasan bukan hanya selepas Perang Dunia ke-2 malahan telah bermula apabila penjajah mula menjajah pada tahun 1511.

Nasionalis-nasionalis Melayu dari zaman Portugis hingga ke British bergadai nyawa dan bertumpah darah untuk satu kebebasan dan kemerdekaan. Janganlah kita sia-siakan perjuangan mereka hanya kerana kita lahir di dalam kemerdekaan tersebut.

Sekurang-kurangnya, kibarkanlah bendera kita dengan sempurna. Jika tidak, ianya satu penghinaan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan kita,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment