Penggalian semula kubur secepat mungkin

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, akan dilaksanakan secepat mungkin.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan gali semula itu, susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, polis antara lain akan membantu mempermudahkan proses menggali dan mengiringi jenazah ke hospital, selain mengawasi proses bedah siasat kali kedua itu serta pengebumian semula jenazah.

“Keputusan sudah dibuat… justeru sama seperti kes adik Zara (Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir), polis akan menyusul untuk melaksanakan arahan dikeluarkan oleh mahkamah.

Sebenarnya, ia adalah satu proses yang serius dengan membabitkan majistret, pasukan perubatan, keluarga, polis, doktor dan semua agensi yang berkaitan.

“Peranan polis ialah memastikan keputusan mahkamah dilaksanakan dan kita akan mempermudahkan (facilitate). Kita tidak perlu pertikai lagi dan ia akan dibuat (kubur digali semula) secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Siri Ke-3 Dialog Khas PDRM anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor, digali semula.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Hakim itu dipetik berkata, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Pada prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden, iaitu:

* Perintah untuk menggali keluar semula jenazah Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua bawah penyeliaan responden pertama, iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.

* Perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, iaitu patologi forensik untuk melakukan bedah siasat semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jenazah itu dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.

* Perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan, dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon, Tetuan Naran Singh & Co.

Sebelum ini, media melaporkan Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dan jenazah dikebumikan pada keesokannya.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, sebelum ini dilaporkan berkata hasil siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian Syamsul Haris.

Nnn

Related posts

Leave a Comment