KUALA LUMPUR 25 Ogos – Seorang lagi Ahli Parlimen PKR menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar 2025 (URA) ditangguhkan sehingga semua isu kebimbangan berkaitan dapat ditangani secara menyeluruh.
Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata, RUU itu akan memberi kesan besar terhadap masa depan bandar-bandar Malaysia dan secara tidak langsung terhadap negara.
“Kita tidak sepatutnya tergesa-gesa, sebaliknya perlu memperhalusi hal ini dengan bijaksana dan inklusif.
“Saya mendesak kerajaan tidak meneruskan bacaan kedua dan ketiga RUU pada Rabu ini serta menangguhkannya sehingga semua isu kebimbangan berkaitan dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Minggu lalu, tujuh Ahli Parlimen PKR pada sidang media menyatakan kebimbangan mengenai RUU berkenaan, khususnya mengenai ambang persetujuan bagi projek pembaharuan bandar.
Mereka ialah Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wang Maju); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Tan Kar Hing (Gopeng), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
RUU berkenaan dibentang di Dewan Rakyat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming Khamis lalu, di sebalik gesaan Ahli Parlimen yang mahukan ia ditangguhkan.
Bacaan kali kedua RUU dan sesi perbahasan dijadual berlangsung Rabu ini.
Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata masyarakat sivil dan kumpulan penduduk turut menyuarakan kegusaran mengenai kesannya terhadap kepadatan serta tahap penglibatan pihak berkepentingan.
“Saya berpandangan RUU ini tak wajar dibentangkan selagi RUU Sewaan Kediaman Kediaman yang sudah lama dinantikan belum direalisasikan.
“Akta ini penting kerana ia akan mengawal selia hubungan antara tuan rumah dan penyewa serta melindungi kepentingan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Nnn
