Sambung rundingan nuklear Iran minggu depan

DUBAI – Iran bersedia kembali ke meja rundingan mengenai nuklear minggu depan bersama Perancis, Britain dan Jerman  selepas ketiga-tiga negara Eropah memberi amaran untuk mengenakan semula sekatan.

Tiga negara tersebut mengingatkan, mereka boleh mengaktifkan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran melalui mekanisme ‘snapback’ sekiranya Tehran tidak kembali ke meja rundingan bagi mencapai perjanjian mengehadkan program pengayaan uranium yang dipertikaikan.

Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul mengesahkan rundingan itu dan memberi amaran sekatan akan kembali jika Iran tidak capai perjanjian kukuh dan boleh disahkan.

Beliau mengulangi bahawa masa semakin suntuk dan Iran perlu terlibat secara substantif.

Media rasmi Iran melaporkan bahawa Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dan Menteri Luar Britain, Perancis dan Jerman bersetuju melalui panggilan telefon agar Timbalan Menteri Luar meneruskan rundingan pada Selasa.

Araqchi menegaskan ketidaklayakan undang-undang dan moral negara-negara ini untuk menggunakan mekanisme ‘snapback’ dan memberi amaran mengenai akibat tindakan sedemikian.

Trio Eropah itu, bersama Amerika Syarikat (AS) berpendapat Iran menggunakan program tenaga nuklearnya untuk berpotensi membangunkan keupayaan senjata yang melanggar Perjanjian Tidak Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).

Iran pula menegaskan mereka hanya mengejar tenaga nuklear untuk kegunaan awam. Iran dan tiga kuasa Eropah kali terakhir bertemu di Geneva pada 20 Jun, ketika perang masih berlangsung dan ketika itu terdapat sedikit tanda kemajuan

Related posts

Leave a Comment