Kebuluran nyata, dunia terus kecam

GENEVA – Kebuluran kini menjadi realiti di Gaza, setiap hari ada penduduk mati kebuluran, demikian pengesahan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

IPC mengesahkan berlakunya kebuluran di Wilayah Gaza, sambil memberi amaran ia akan merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis dalam beberapa minggu.

Susulan itu, pemimpin dunia serta agensi PBB mengecam dan menggesa Israel membenarkan bantuan makanan yang mencukupi tanpa lengah masuk ke wilayah yang sedang dilanda bencana itu.

Pesuruhjaya Eropah bagi Kesamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Hadja Lahbib berkata kebuluran kini menjadi “realiti” di Gaza, dengan penduduk mati akibat kebuluran.

Beliau memetik analisis IPC yang mengunjurkan menjelang akhir September, hampir satu daripada tiga penduduk Gaza, iaitu kira-kira 641,000 orang berdepan kebuluran.

Lahbib menggesa Israel membenarkan “akses kemanusiaan tanpa halangan dan berterusan kepada semua yang memerlukan.”

IPC menyatakan setakat 15 Ogos, kebuluran (IPC Fasa 5) dengan bukti munasabah disahkan di Wilayah Gaza, satu daripada lima kawasan di enklaf itu, di mana lebih 62,000 penduduk Palestin maut sejak Oktober 2023 akibat serangan Israel.

Di Berlin, jurucakap Kementerian Luar Jerman Josef Hinterseher menggesa Israel membenarkan bantuan mencukupi masuk sambil mengingatkan bahawa Jerman telah berulang kali memberi amaran mengenai risiko berkenaan.

“Semakin ramai penduduk, khususnya kanak-kanak, mati kelaparan di depan mata kita. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kebuluran ini sepenuhnya berpunca daripada tindakan manusia,” katanya.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) turut menegaskan kebuluran yang “dicipta secara sengaja oleh Kerajaan Israel” kini disahkan, dengan kempen ketenteraan Israel memusnahkan Gaza dan mengorbankan lebih 62,100 penduduk Palestin sejak Oktober 2023.

Setiausaha Luar Britain David Lammy pula menyifatkan kebuluran itu sebagai “amat mengerikan” dan “sebenarnya boleh dielakkan.”, jika Israel membenarkan penghantaran makanan, bekalan perubatan, bahan api dan semua bentuk bantuan.

Beliau turut mengulangi gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan, sambil memberi amaran operasi ketenteraan Israel di Bandaraya Gaza – pusat kebuluran – hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta membahayakan nyawa tawanan yang ditahan Hamas.

Kenyataan bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Gaza sudah kehabisan pilihan untuk terus bertahan.

Ketua Pengarah FAO Qu Dongyu berkata kelaparan dan kekurangan zat makanan kini meragut nyawa setiap hari, diburukkan lagi dengan kemusnahan tanah pertanian, ternakan dan perikanan.

“Keutamaan kita sekarang ialah akses selamat dan berterusan bagi penghantaran bantuan makanan berskala besar. Akses kepada makanan bukan keistimewaan … ia hak asasi manusia,” katanya.

Pengarah Eksekutif WFP Cindy McCain berkata amaran kebuluran telah jelas selama berbulan-bulan.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah lonjakan bantuan, keadaan lebih selamat di lapangan, serta rangkaian pengedaran berkesan bagi mencapai semua yang memerlukan. Akses kemanusiaan penuh dan gencatan senjata sekarang amat penting untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell menggambarkan keadaan kanak-kanak “dengan tubuh kurus kering, terlalu lemah untuk menangis atau makan; bayi mati akibat kelaparan dan penyakit yang boleh dicegah; ibu bapa datang ke klinik tanpa apa-apa lagi untuk diberi makan kepada anak mereka.”

Nnnn

Related posts

Leave a Comment