SEPANG 23 Ogos – Selepas Kapar, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pula tampil menggesa supaya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Lokman Noor Adam dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO susulan tuduhan terhadap Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh.
Malahan, Ketuanya Aliff Firdaus Abd Hadi juga mengusulkan supaya Lokman dilucutkan jawatan sebagai Pengarah Komunikasi UMNO.
“Pemuda Wilayah Persekutuan memandang serius kenyataan Lokman dalam satu temu bual yang melabelkan Dr. Akmal sebagai “Ketua Pemuda H20” (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), seolah-olah beliau menyimpan rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap dua tokoh parti itu.
Lebih membimbangkan, sebagai Pengarah Komunikasi UMNO, kenyataan beliau boleh disalah tafsir sebagai pendirian rasmi parti, sekali gus menjejaskan imej UMNO di mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Aliff Firdaus berkata, Lokman sebagai ahli UMNO yang berdaftar di Wilayah Persekutuan, kenyataan berbaur fitnah dan menyerang kepemimpinan parti secara terbuka telah memberi gambaran yang buruk terhadap UMNO Wilayah Persekutuan.
“Sehubungan itu, Pemuda Wilayah Persekutuan mengusulkan agar beliau segera dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO serta dilucutkan jawatan sebagai Pengarah Komunikasi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa Lokman lebih sibuk mencari ruang untuk menjadikan dirinya relevan di mata kepemimpinan parti dan kerajaan, namun sikap sebegini tidak diperlukan dalam UMNO.
“Parti ini memerlukan seorang Pengarah Komunikasi yang matang, bijaksana, dan mampu membawa naratif positif yang dapat mengangkat imej UMNO, bukannya individu yang menjerumuskan parti dalam polemik dalaman yang memalukan,” katanya.
Semalam Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris menggesa tindakan segera diambil terhadap Lokman yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Dr Akmal yang didakwa mahu menaikkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.
“Asal buka mulut sahaja, bukannya mahu menyatupadukan parti tetapi terus memberikan naratif dongengan yang memecahbelahkan UMNO. Tindakan beliau ini tidak beradab dan sah menjadi ejen yang menyusup untuk melemahkan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Affifi, Pemuda UMNO Kapar akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Setiausaha Agung UMNO bagi melaporkan sikap Lokman yang disifatkan tidak beretika serta tidak mencerminkan kualiti seorang pemimpin MKT.
“Kalau ada maruah, keluar sahaja daripada parti ini. Jangan jadi ketam mengajar anak berjalan,” jelas beliau yang turut mengajak ahli UMNO lain membuat laporan rasmi kepada Ibu Pejabat UMNO supaya tindakan dikenakan terhadap Lokman.
Beliau juga mengingatkan pilihan raya bukan hanya ditentukan ahli, sebaliknya rakyat Malaysia.
“Kalau manusia seperti ini kita simpan, ia bukan menguntungkan parti bahkan menyebabkan defisit keyakinan rakyat. Kita perlu nyahkan dia daripada parti sebelum menjadi barah tahap akhir,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Mohd Affifi turut memuat naik surat aduan berkenaan di Facebook yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 22 Ogos.
Dalam surat yang ditandatangani Mohd Affifi itu, beliau menegaskan bahawa tindakan Lokman jelas melanggar Perlembagaan UMNO, Fasal 20.9(f) dan 20.9(g) kerana berunsur fitnah serta menjejaskan nama baik parti.
“Berdasarkan sebuah video tular ketika temu bual Lokman, beliau secara sengaja menggelar Muhamad Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H2O’ dan menuduh mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.
“Tuduhan ini bukan sahaja fitnah, malah berniat memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan parti,” katanya.
Menerusi surat itu juga dinyatakan bahawa tindakan Lokman telah mencemarkan imej seorang Ahli MKT, merendahkan maruah kepimpinan Pemuda UMNO serta menanam persepsi negatif terhadap pucuk pimpinan parti.
Nnnn
