Andalusia sedia perkukuh urusan haji

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) akan mengambil langkah memperkukuh pengurusan ibadah haji dengan pendekatan lebih telus dan berasaskan teknologi digital.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, langkah itu termasuk pembangunan empat aplikasi baharu menjelang musim haji akan datang.

Katanya, antara inovasi yang bakal diperkenalkan ialah Super Apps Komuniti Jemaah bagi memudahkan komunikasi, pemantauan serta penyelarasan operasi di Tanah Suci.

Andalusia turut melancarkan buku rekod kesihatan jemaah untuk memastikan tahap kesihatan bakal haji dapat dipantau lebih awal sebelum berangkat ke Mekah dan Madinah.

“Alhamdulillah, maklum balas daripada Tabung Haji mendapati jemaah sangat berpuas hati dengan pengelolaan kami di Tanah Suci meskipun peraturan baharu agak ketat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Tautan Rindu Haramain.

Majlis Perjumpaan Ukhwah Jemaah Haji Andalusia itu berlangsung di Hotel Grand Hyatt, di sini dengan pengisian ceramah Ibrah Ibadat Haji yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Izzhar Ahmad Nazri, sesi cabutan bertuah dan bergambar.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin.

Untuk musim haji 1446H/2025M yang lalu Andalusia mengendalikan 555 jemaah dengan bantuan 20 petugas rasmi.

Sementara itu, Ida Riswana turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menggunakan nama Andalusia secara tidak sah.

“Andalusia mempunyai 64 cawangan dan 1,700 ejen sah. Semua transaksi perlu dibuat melalui sistem rasmi kami bagi mengelakkan mangsa scammer.

“Keberkesanan kami terletak pada kekuatan pasukan dalaman, prosedur pengurusan yang tersusun serta komitmen untuk menepati janji kepada jemaah,” katanya.

Dalam pada itu kumpulan jemaah yang menunaikan ibadah haji bersama Andalusia bersyukur dan berpuas hati dengan pengurusan yang dikendalikan di Makkah dan Madinah.

Ketua sukarelawan, Hazizi Hashim, 45, dari Melaka berkata, dengan komitmen petugas serta 30 sukarelawan, perjalanan operasi ibadah berjalan lancar.

“Dari segi pengurusan memang terbaik, cuma saya cadangkan jumlah sukarelawan ditambah pada musim akan datang supaya tugasan dapat dibahagi dengan lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Andalusia dibuat selepas meneliti pakej yang ditawarkan selain mendapat maklum balas positif daripada jemaah terdahulu yang memilih pakej yang ditawarkan Andalusia.

“Bila dibandingkan dengan agensi lain, Andalusia lebih tersusun dan menawarkan harga berpatutan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment