KUALA LUMPUR 7 Ogos – Perikatan Nasional (PN) sudah pun menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, sebaik saja enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata, beliau hairan dengan kenyataan Johari semalam yang mengesahkan tidak menerima maklumat secara hitam putih berhubung kedudukan enam ahli Parlimen berkenaan.
Katanya, mengikut Perlembagaan Persekutuan, sudah jelas menyatakan mana-mana setiausaha agung parti hendaklah memaklumkan perkara itu kepada Speaker.
“Mengikut Akta Anti Lompat Parti, setiausaha agung mana-mana parti hantar surat kepada Speaker memaklum, melaporkan perkara itu. Ia terkandung dalam akta itu. Dia (Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen. Johari) nak minta apa lagi?
Perkara 49A Perlembagaan (Persekutuan) sudah jelas (nyatakan) bahawa setiausaha agung mana-mana parti memaklum kepada dia (Johari).
“Itu yang saya hairan, dia kata belum maklum kepada dia. Jadi sampai masa kita akan minta Speaker minta maaf. Kalau boleh tolong tanya Speaker sebab kita tanya dia dalam dewan, dia kata itulah jawapannya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Johari sebelum ini mengesahkan tiada maklumat secara hitam putih diterima daripada enam bekas ahli Parlimen Bersatu berhubung status mereka yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meninggalkan blok pembangkang.
Johari berkata demikian selepas Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangkit mengajukan soalan untuk mengetahui status enam bekas ahli Parlimen berkenaan, sejurus selesai sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
PN terutama Bersatu sebelum ini beberapa kali mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai status enam ahli Parlimen berkenaan.
Antaranya pada 20 Jun 2024 yang mana ketika itu, Ketua Whip Bersatu, Dr Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat memohon supaya enam kerusi Parlimen dipegang wakil rakyatnya dikosongkan.
Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Satu lagi surat dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat selepas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April lalu, yang membatalkan writ saman dan penyata tuntutan yang difailkan Suhaili.
Nnn
