Negeri boikot Israel mungkin disekat

WASHINGTON – Negeri dan bandar di Amerika Syarikat (AS) yang memboikot syarikat Israel berkemungkinan tidak akan diberikan bantuan persekutuan untuk persediaan bencana alam, tindakan yang dilihat ugutan oleh pentadbiran Trump.

Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) melalui notis geran Jumaat lalu, negeri-negeri mesti mematuhi ‘terma dan syarat’ agensi itu termasuk

mewajibkan negeri-negeri mengesahkan, mereka tidak akan memutuskan ‘hubungan komersial secara khusus dengan syarikat Israel’.

Syarat berkenaan terpakai ke atas sekurang-kurangnya AS$1.9 bilion (RM8.93 bilion) yang digunakan oleh negeri-negeri bagi menampung kos peralatan mencari dan menyelamat, gaji pengurusan kecemasan, sistem kuasa sokongan dan pelbagai keperluan lain.

Situasi itu adalah usaha terkini pentadbiran Trump menggunakan pembiayaan persekutuan untuk mempromosi pendiriannya terhadap Israel.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang menyelia FEMA, pada April lalu menyatakan, pemboikotan terhadap Israel adalah dilarang bagi negeri dan bandar yang menerima dana geran agensi itu.

Bulan lalu, FEMA turut mengumumkan, negeri-negeri AS dikehendaki menggunakan sebahagian daripada dana pencegahan keganasan persekutuan untuk membantu kerajaan menahan pendatang tanpa izin, yang menjadi keutamaan utama pentadbiran itu.

Syarat berkaitan Israel itu menyasarkan gerakan BDS (Boikot, Pelucutan Pelaburan dan Sekatan) yang bertujuan memberi tekanan ekonomi ke atas Israel supaya menamatkan pendudukan di wilayah Palestin.

Sokongan terhadap kempen ini meningkat pada 2023 selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel dan tindak balas Israel yang menyerang Gaza.

“DHS akan menguatkuasakan semua undang-undang dan dasar antidiskriminasi, termasuk yang berkaitan dengan gerakan BDS, yang secara terang-terangan berlandaskan antisemitisme,” kata jurucakap kepada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun syarat ini dilihat hanya sekadar bersifat simbolik, kerana menurut jurnal undang-undang Universiti Pennsylvania, sekurang-kurangnya 34 negeri di AS sudah pun mempunyai undang-undang atau dasar anti-BDS.

“Keperluan FEMA ini adalah sesuatu yang memalukan,” kata Mahmoud Nawajaa daripada Gerakan BDS dalam satu kenyataan semalam.

Berdasarkan salah satu notis geran yang dikeluarkan Jumaat lalu, FEMA menetapkan bahawa bandar-bandar besar perlu bersetuju dengan dasar berkaitan Israel itu untuk layak menerima bahagian daripada AS$553.5 juta (RM2.60 bilion) yang diperuntukkan bagi pencegahan keganasan di kawasan padat penduduk.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment