Henti bekal senjata kepada Israel

BRUSSELS: Wakil Tinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell menggesa sekutu Israel,terutamanya Amerika Syarikat (AS), untuk berhenti daripada terus membekalkan senjata kerana sudah “terlalu ramai orang” terbunuh di Gaza.

Merujuk kenyataan Presiden AS, Joe Biden minggu lalu yang menyebut, tindakan ketenteraan Israel ‘melampaui batas’ dan ‘berlebihan’, beliau berkata, tindakan  terbaik perlu dilakukan ialah AS mengurangkan pemberian senjata kepada Israel.

“Berapa kali anda mendengar pemimpin dan Menteri Luar yang paling terkemuka di seluruh dunia mengatakan terlalu ramai orang terbunuh?

Jika masyarakat antarabangsa percaya bahawa ini adalah penyembelihan, terlalu ramai orang terbunuh, mungkin kita perlu memikirkan tentang pembekalan senjata,” tegas Borrel.

Ketua Diplomat EU itu turut menyelar arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa lebih sejuta rakyat Palestin yang berlindung di bandar Rafah di Gaza perlu “dipindahkan” menjelang operasi ketenteraan Israel yang dirancang di sana.

“Mereka akan berpindah ke mana? Ke bulan? Di mana mereka hendak memindahkan orang-orang ini?” soal Borrell yang turut memberi amaran kepada Israel mengenai tindakan tidak seimbang yang diambil rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza.

Ini bukan kali pertama Borrell menyatakan kebimbangan terhadap pencerobohan bandar Rafah di selatan Gaza.

Pada Ahad, beliau berkata, serangan di Rafah “akan membawa kepada malapetaka kemanusiaan yang tidak terkata” dan ketegangan yang teruk dengan negara jiran Mesir.

Borrel dalam pada itu turut menggesa semua pihak memberikan tekanan kepada Israel dan meneruskan bantuan untuk menyokong krisis kemanusiaan.

“Jika mereka (Israel) melancarkan serangan terhadap kawasan berpenduduk tinggi dengan lebih 1.7 juta orang, mereka (rakyat Palestin) tidak akan dapat melarikan diri.

Bila adanya perang, manusia melarikan diri, tetapi orang awam di Gaza tidak dapat melarikan diri kerana mereka dikepung. Inilah situasinya, jadi saya harap seluruh dunia mengambil kira ini,” katanya.

Dalam pada itu, media turut melaporkan Biden dikatakan semakin kecewa dengan rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu.

Kekecewaan Biden disuarakannya kepada barisan penasihat beliau dan beberapa pihak mengenai tindakan Perdana Menteri Israel mengabaikan nasihatnya dan menghalang usaha untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Secara peribadi, Biden lebih bersedia untuk menawarkan pandangan yang jujur mengenai Netanyahu, termasuk kekesalannya terhadap Netanyahu yang tidak mendengar nasihat AS untuk mengurangkan taktik ketenteraan di Gaza.

Dalam masa sama, beberapa pegawai beliau tertanya-tanya berapa lama lagi Biden akan bertahan daripada mengkritik Netanyahu ketika perang di Gaza dilihat tidak berkesudahan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment