RMK13 : Tumpuan produk makanan negara

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada penghasilan produk makanan dalam negara dengan penekanan kepada pertanian berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import yang kekal tinggi.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata tumpuan melibatkan lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya , kebergantungan kepada makanan import masih terlalu tinggi dan bagi mengurangkan risiko kelumpuhan bekalan makanan import yang boleh jadi ancaman kepada negara, penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkat.

“Ini termasuk program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) Kedah dan Perlis, KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) di Kelantan serta kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak akan dipercepat dan diperluas pelaksanaannya,” katanya.

Anwar turut memberitahu, keutamaan lain adalah pemindahan teknologi membabitkan pembangunan varieti dan teknik pertanian, penggunaan jentera moden melalui program mekanisasi dan automasi agromakanan serta pengurusan tanah yang lebih cekap.

Begitu juga aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI), adaptasi pertanian pintar dan ladang satelit akan dipergiat dengan simbiosis erat antara petani termasuk agropreneur muda, institusi penyelidikan dan pihak industri.

Perdana Menteri turut memberitahu, sumber import makanan akan dipelbagaikan supaya tidak bergantung pada negara tertentu.

Dalam masa sama, kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara akan diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan.

“Bagi menambah baik rantaian bekalan makanan secara menyeluruh, kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran serta sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana akan diperkukuh,” katanya.

Beliau juga menegaskan, minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan.

“Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan subsektor agrikomoditi meliputi sawit, getah dan koko.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden termasuk mekanisasi, automasi dan robotik, RDCI dan pensijilan kemampanan bagi meningkatkan kecekapan operasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, khususnya tenaga kerja asing.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment