Mengemis mampu miliki Proton X70 Premium

SEPANG 22 Feb. –  Mengemis tetapi mampu memiliki kereta Proton X70 Premium. Begitulah kehidupan seorang pengemis Orang Kurang Upaya (OKU) yang terbongkar dalam satu operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran.

Lelaki OKU yang memiliki kedua-dua tangan yang kecil itu juga memperoleh sehingga RM500 kutipan sumbangan orang ramai dalam tempoh empat hingga lima jam ketika berada di mana-mana di pasar malam.

JKM Maran melalui Facebooknya mendedahkan, ketika dihampiri pegawai JKM, lelaki yang berjubah dan berkopiah itu berdiri di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.

Sebaik dihampiri pegawai JKM Maran dan disoal siasat, dia hanya mendiamkan diri seolah bisu dan pekak, walaupun berkali-kali didesak.

Selepas sekian lama didesak, barulah dia bersuara dan segala rahsianya mula terbongkar apabila lelaki itu membuka pintu sebuah kereta Proton X70 Premium untuk mengambil kad pengenalannya dalam operasi itu.

Dia mengakui kereta Proton X70 Premium itu adalah miliknya hasil kutipan daripada aktiviti mengemis. Difahamkan harga pasaran bagi kereta model itu ialah sekitar RM127,100.

Siasatan lanjut mendapati lelaki itu menetap di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan. Beliau bagaimanapun dilepaskan dengan amaran oleh pegawai penguat kuasa JKM.

Semakan juga mendapati beliau menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 .

Related posts

Leave a Comment