KUALA LUMPUR 31 Julai – Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dilakukan secara terus untuk semua pemegang MyKad, tanpa perlu membuat pendaftaran atau permohonan oleh warga Malaysia
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, kelayakan untuk penghargaan Sara adalah secara automatik berdasarkan data semua warganegara dewasa yang memegang MyKad.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang penipuan atau scammer yang menjemput pendaftaran program itu kerana data pemegang MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digunakan.
“Ini adalah julung kalinya bantuan tunai turut disalurkan kepada seluruh warganegara dewasa. Dengan ini, seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu.
Langkah ini membabitkan perbelanjaan RM2 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai proses pendaftaran dan bagaimana untuk melayakkan diri bagi menerima serta berbelanja RM100 di bawah inisiatif Sara.
Amir Hamzah berkata, inisiatif penghargaan Sara membolehkan sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Sara yang lebih tinggi.
Contohnya, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM500 dan bukannya hanya RM100 seisi rumah.
Menurutnya, kredit ini boleh dibelanjakan di lebih 4,500 premis runcit yang berdaftar sehingga 29 Julai 2025 dan akan bertambah dari semasa ke semasa membabitkan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori.
Antara barangan keperluan harian itu adalah seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.
Manakala remis berdaftar pula adalah seperti Giant, MYDIN, BATARAS, C-Mart dan TF Value-Mart sementara premis yang ingin berdaftar sebagai Rakan Niaga Sara, boleh membuat permohonan kepada Yayasan MyKasih untuk proses selanjutnya.
Mengenai keberkesanan pendekatan kerajaan memperluaskan program Sara, Amir Hamzah berkata, ia telah mendapat sambutan baik daripada penerima dengan purata penggunaan mencecah 93 peratus untuk 2025 setakat ini.
Berdasarkan prestasi pelaksanaan program Sara 2025, kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di Perlis dengan 96 peratus tuntutan diikuti Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 95 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai runcit berdaftar.
