PUTRAJAYA 30 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) menggantung persekolahan empat murid dan mengeluarkan surat amaran kepada 14 yang lain susulan terbabit dalam pergaduhan hingga tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang melawat sekolah berkenaan pagi ini bagi mendapatkan maklumat penuh kejadian berkata, KPM tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan.
“Murid yang digantung sekolah akan mengikuti program khidmat masyarakat bawah kelolaan pejabat pendidikan daerah,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya hari ini.
Beliau memberitahu sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni.
Katanya, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan.
Terdahulu, seorang pempengaruh memuat naik video pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar lelaki, dipercayai berlaku di tandas sekolah.
