4,758 murid tercicir kembali ke sekolah

KUALA LUMPUR 30 Julai – Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) berjaya membawa 4,758 murid tercicir kembali ke sekolah bagi tempoh 10 Februari hingga hari ini, berbanding 2,708 murid pada 2024, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Beliau berkata ia sekali gus membuktikan pendekatan berasaskan data dan pemantauan berterusan mampu meningkatkan kadar kemasukan semula murid ke dalam sistem pendidikan negara.

“Terkini, SiPKPM telah diintegrasikan dengan pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) yang dapat meramal laluan pembelajaran dan juga laluan kerjaya murid berisiko cicir dan murid cicir yang berada di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) hingga mereka di tingkatan lima.

“Ramalan ini membantu KPM mengekalkan murid berisiko cicir dan murid cicir agar mereka meneruskan persekolahan,” katanya menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu mengenai tahap keberkesanan SiPKPM.

Menurut beliau, SiPKPM meliputi data semua kanak-kanak dalam umur prasekolah dari tahun satu hingga tingkatan lima termasuk murid di institusi pendidikan swasta dan institusi pendidikan agama.

Beliau berkata berdasarkan data KPM, antara faktor utama murid cicir adalah kerana tidak berminat ke sekolah, bekerja, masalah keluarga dan menghidap sakit kronik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment