Lebih 220 ahli Parlimen gesa UK iktiraf Palestin

LONDON – Lebih 220 ahli Parlimen Britain termasuk puluhan pemimpin mewakili Parti Buruh yang memerintah menuntut kerajaan United Kingdom (UK) pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer mengiktiraf negara Palestin.

Gesaan dalam bentuk surat yang ditandatangani penggubal undang-undang dari sembilan parti politik UK itu dibuat kurang 24 jam selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, negaranya secara rasmi akan mengiktiraf Palestin pada mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September.

Perancis menjadi negara G7 pertama dan negara Eropah paling berpengaruh yang mengambil langkah sedemikian yang dikecam Israel dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami menggesa supaya negara Palestin diiktiraf secara rasmi pada persidangan minggu depan,” tulis 221 penggubal undang-undang UK dalam surat bersama merujuk Persidangan PBB yang dijadual berlangsung pada 28 dan 29 Julai ini.

Ia dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi di New York.

Dalam menghadapi tekanan yang semakin meningkat terhadap isu itu, kerajaan UK mengekalkan pendirian lamanya bahawa ia menyokong penyelesaian dua negara kepada konflik di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan semalam berikutan panggilan mengenai Gaza daripada rakan sejawatnya di Perancis dan Jerman, Starmer berkata, beliau ‘mengusahakan laluan kepada keamanan di rantau itu’.

“Pengiktirafan negara Palestin wajar menjadi satu daripada langkah itu. Namun, ia mesti menjadi sebahagian daripada rancangan yang lebih meluas,” katanya.

Beberapa faktor boleh menghalang Starmer daripada meneruskan langkah itu, termasuk mahu mengelakkan kemarahan Presiden AS, Donald Trump.

Related posts

Leave a Comment