Kyiv cadang rundingan baharu

KYIV – Selepas dua pusingan rundingan antara Moscow dan Kyiv sebelum ini gagal menghasilkan sebarang kemajuan ke arah gencatan senjata, Kyiv mencadangkan satu pusingan rundingan damai baharu dengan Russia minggu depan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyatakan cadangan itu beberapa jam selepas serangan Russia di seluruh Ukraine yang meragut lebih banyak nyawa.

Dua pusingan rundingan di Istanbul sebelum ini gagal sebaliknya menghasilkan pertukaran tahanan berskala besar dan perjanjian untuk memulangkan mayat tentera yang terbunuh.

“Setiausaha Majlis Keselamatan Umerov melaporkan beliau telah mencadangkan pertemuan dengan pihak Russia pada minggu depan,” kata Zelensky dalam ucapannya.

Zelensky mengulangi kesediaannya untuk mengadakan pertemuan bersemuka dengan presiden Russia, Vladimir Putin dan menegaskan momentum rundingan mesti dipertingkatkan.

“Pertemuan di peringkat kepimpinan diperlukan untuk benar-benar memastikan keamanan yang berkekalan,” katanya.

Pada rundingan bulan lalu, Russia menggariskan senarai tuntutan, termasuk gesaan agar Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah dan menolak semua bentuk sokongan tentera Barat.

Kyiv menolak tuntutan itu yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan pada masa itu dan mempersoalkan titik rundingan lanjut jika Moscow tidak bersedia untuk membuat konsesi.

Kremlin berkata awal bulan ini ia bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Ukraine selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi Russia 50 hari untuk mencapai perjanjian damai atau berdepan sekatan.

Trump juga berjanji untuk membekalkan Kyiv dengan bantuan ketenteraan baharu, ditaja oleh sekutu NATO, kerana kemusnahan bandarnya yang mengalami serangan udara Russia semakin meningkat.

Russia telah meningkatkan serangan udara jarak jauh ke atas bandar-bandar Ukraine serta serangan barisan hadapan dan tembakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini sekaligus mengingkari amaran Trump.

Related posts

Leave a Comment