KUALA LUMPUR 10 Julai – Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) mengingatkan kenyataan Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam malah mencalar maruah institusi kepemimpinan Melayu.
SMB dalam kenyataannya berkata, Presiden UMNO itu seharusnya lebih cermat dan beradab ketika menyentuh isu-isu berkait dengan akidah, hukum dan syariat Islam.
Justeru, Koordinator SMB itu berkata, teguran tegas perlu dibuat supaya kesalahan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh berpengaruh tidak membuka ruang lebih luas kepada pihak lain untuk terus memperlekeh dan menghina agama Islam.
Pada masa yang sama pihak berkuasa digesa bertindak mengikut peruntukan sedia ada berhubung kenyataan Ahmad Zahid yang didakwa SMB telah mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Kami berpandangan budaya memohon maaf setiap kali tersilap bicara telah menjadi terlalu murah dan hilang makna apabila ia tidak disertai dengan taubat nasuha dan usaha memahami Islam secara sahih,” kata SMB.
Ahmad Zahid baru-baru ini mengaku keterlanjuran kata-katanya selepas mengaitkan malaikat dalam konteks tekanan dihadapi beliau sewaktu memegang amanah sebagai Presiden UMNO.
Ucapan kepada perwakilan UMNO itu mencetuskan kemarahan umat Islam serta mendapat teguran termasuk daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berharap kesalahan itu diperbetulkan.
Beliau kemudiannya tampil memohon ampun pada Allah SWT dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.
SMB juga mengingatkan bahawa Islam bukan alat politik dan umat Islam pula bukan boneka yang boleh dimomokkan dengan retorik kosong.
Menurut SMB, pihaknya akan terus memantau dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mempermainkan isu-isu agama demi kepentingan politik sempit mereka.
Nnn
