SHAH ALAM 8 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini diberitahu, sebanyak 23 kes ajaran sesat sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan di negeri ini sejak 2019 hingga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, antara ajaran sesat yang diambil tindakan ialah Syiah, Millah Abraham, Hizbut Tahrir, Rasul Melayu dan Tuhan Harun.
“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 12 kes sudah disabit kesalahan, manakala 11 kes lagi dalam proses perbicaraan di Mahkamah Syariah,” katanya menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) pada Persidangan DUN Ke-15, di sini.
Mohammad Fahmi menjelaskan, kerajaan Selangor mengawal penyebaran ajaran sesat dengan mengambil pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan kepada ajaran sesat yang dikenalpasti tersebar di negeri ini.
Maklumat juga disebarkan melalui penerbitan bahan-bahan bercetak dan melalui media elektronik bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Medium khutbah pada Jumaat turut digunakan bagi menyampaikan maklumat yang perlu disamping memberi kesedaran jika terjebak dengan ajaran sesat yang ada.
Kerajaan negeri turut menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan disamping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan kepada mereka yang terbabit,” katanya.
NNN
