PUTRAJAYA 8 Julai – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan dalam badan kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya, Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan memelihara kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.
“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan terbabit masih perlu melalui beberapa formaliti.
Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Justeru, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Tegas AGC, tempoh dan proses memuktamadkan pelantikan khususnya jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.
Kenyataan itu susulan, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama enam lagi wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Beliau mendakwa, mesyuarat JAC sudah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.
Menurut AGC, pelantikan hakim mahkamah atasan diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pelantikan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak secara eksklusif kepada Perdana Menteri,” katanya.
AGC menegaskan bahawa tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan Perlembagaan dan bukan berdasarkan tekanan luar.
“Ia hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada,” jelas AGC.
Berhubung kenyataan mesyuarat JAC dipanggil tanpa notis mencukupi menurut Seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan, JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.
“Apabila terdapat keadaan yang mendesak, lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota.
“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” kata AGC.
Dalam pada itu AGC menyifatkan sebagai dakwaan yang serius berhubung kenyataan mengenai tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terbabit dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim.
Bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia serta dilindungi undang-undang dan tuduhan terbabit tidak boleh disamakan dengan salah laku yang dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pramatang serta bersifat spekulatif semata-mata.
AGC juga menegaskan perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah perkara yang tidak wajar pada peringkat ini.
“Kes itu membabitkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.
“Keadaan terbabit berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” kata AGC.
AGC juga menjelaskan, Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya, namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
Tegasnya, kedua-dua institusi itu hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.
“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” kata AGC.
NNNN
