Bersatu Pagoh lulus usul hapuskan SST

MUAR 6 Julai – Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh meluluskan usul supaya kerajaan menghapuskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

Ketua Bersatu Bahagian Pagoh, Muhyiddin Yassin, berkata usul berkait SST adalah agenda utama dibangkitkan pada persidangan kali ini, selain isu pendidikan dan penjelasan mengenai perjanjian pembangunan wilayah Laut Sulawesi.

Beliau berkata, semua usul dibangkitkan pada persidangan bahagian itu telah diluluskan sebulat suara selepas dibahas oleh perwakilan masing-masing.

“Cadangan memansuhkan cukai SST adalah perlu kerana ia membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Kampung Jayor, Pagoh di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, masyarakat bukan Melayu tidak perlu takut akan usaha memperkukuhkan perpaduan Melayu menerusi konsep ‘payung besar’.

“Orang bukan Melayu tidak perlu takut. Jika orang Melayu bersatu, negara akan lebih maju seperti dahulu,” katanya.

Muhyiddin mendakwa, kerajaan sekarang dilihat tidak bersungguh-sungguh membela Melayu dan bumiputera dan ini adalah perkara besar yang perlu diberikan perhatian.

Pada Jun lalu, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan penubuhan Sekretariat Orang Melayu sebagai usaha mengembalikan kuasa politik Melayu bawah satu ‘payung besar’.

Nnn

Related posts

Leave a Comment