Iran sahkan komander IRGC terbunuh

TEHRAN – Angkatan Tentera Iran mengesahkan kematian Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Jeneral Ali Shadmani, susulan serangan udara oleh Israel minggu lalu.

Menurut agensi berita IRNA, komander berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam serangan itu.

Markas Pusat Khatam al-Anbiya yang diketuai oleh Shadmani menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah ketenteraan” oleh pasukan Israel, dan berikrar akan membalas dendam secara “keras dan tegas”.

Tentera Israel sebelum ini memaklumkan pada 17 Jun bahawa mereka membunuh Shadmani dalam satu serangan yang menyasarkan pusat arahan di tengah ibu negara Tehran.

Israel turut menggambarkan beliau sebagai “komander tentera paling kanan” dan individu paling hampir dengan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Pengumuman rasmi kematian Shadmani dibuat sehari selepas gencatan senjata diumumkan oleh Amerika Syarikat, menamatkan konflik terbuka selama 12 hari antara Israel dan Iran.

Shadmani dilantik menggantikan Jeneral Gholam Ali Rashid yang terbunuh dalam hari-hari awal serangan Israel.

Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran pada 13 Jun yang menyasarkan kemudahan nuklear Iran dan beberapa tokoh kanan ketenteraan.

Amerika Syarikat kemudian menyertai operasi tersebut dengan melancarkan serangan udara ke atas tapak nuklear di Fordo, Isfahan dan Natanz manakala Iran bertindak balas dengan melancarkan siri serangan peluru berpandu ke atas wilayah Israel serta satu serangan ke atas pangkalan tentera Amerika di Qatar.

Nnn

Related posts

Leave a Comment