WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump menolak dakwaan bahawa Iran memindahkan uranium yang diperkaya sebelum serangan udara Amerika Syarikat, ketika perdebatan mengenai kerosakan yang dialami program nuklear Tehran akibat serangan itu.
Trump, yang menuntut pujian atas tindakan ketenteraannya serta pengumuman segera gencatan senjata antara Israel dan Iran, marah terhadap laporan media berkaitan penilaian sulit yang meragui kemusnahan ke atas tapak nuklear Iran.
Satu persoalan utama yang dibangkitkan oleh pakar adalah kemungkinan Iran memindahkan kira-kira 400 kilogram uranium yang diperkaya – yang kini berkemungkinan disembunyikan di lokasi lain dalam wilayahnya yang luas.
“Saya boleh sahkan bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa uranium yang diperkaya itu dipindahkan sebelum serangan, sebagaimana yang dilaporkan secara tidak tepat,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada Fox News.
Bagi apa yang tinggal di tapak itu ketika ini, ia tertimbus di bawah runtuhan kerana keberkesanan serangan pada malam Sabtu lalu.
Bagaimanapun , Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance memberikan kenyataan yang lebih berhati-hati apabila ditanya mengenai isu uranium Ahad lalu, dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan berbincang perkara itu bersama Iran.
“Kami akan bekerjasama dalam minggu-minggu akan datang bagi memastikan bahan api itu ditangani dengan sewajarnya,” katanya dalam program *This Week* di saluran ABC News.
Jumlah uranium itu sebelum ini dilaporkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang kini sedang menimbang untuk menamatkan kerjasama dengan Iran susulan serangan oleh Israel dan AS ke atas program nuklear negara itu.
“Kami kehilangan keupayaan pengawasan terhadap bahan itu sebaik sahaja konflik bermula,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi.
Tentera AS dilaporkan menggugurkan 14 bom bunker-buster GBU-57 seberat 13,600 kilogram ke atas tiga tapak nuklear utama Iran.
Trump berulang kali mendakwa serangan itu telah “menghancurkan sepenuhnya” kemudahan nuklear Iran, termasuk tapak utama Fordo yang terletak jauh di dalam kawasan pergunungan.
Namun, penilaian awal yang diklasifikasikan – pertama kali dilaporkan oleh CNN – menyatakan bahawa beberapa komponen utama tidak musnah, dan program nuklear Iran hanya tertangguh selama beberapa bulan saja.
Trump bertindak balas secara agresif terhadap laporan itu dan menyerang wartawan CNN melalui platform ‘Truth Social’ dan menuntut agar syarikat berita itu memecat pemberita berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth – yang digelarnya sebagai “setiausaha perang” – akan mengadakan sidang media pada pukul 8 pagi Khamis (1200 GMT) bagi “mempertahankan maruah juruterbang hebat Amerika” selepas laporan yang meragui keberkesanan serangan itu.
Pemimpin perisikan AS turut tampil mempertahankan tindakan itu di mana Pengarah CIA, John Ratcliffe dalam satu kenyataan berkata bahawa maklumat risikan baharu daripada sumber yang “secara boleh dipercayai” menunjukkan bahawa “beberapa kemudahan nuklear utama Iran telah musnah dan perlu dibina semula dalam tempoh bertahun-tahun”.
Kerajaan Iran sebelum ini mengakui bahawa kemudahan nuklearnya mengalami kerosakan teruk.
Uranium yang dimaksudkan itu telah diperkaya sehingga 60 peratus – melebihi tahap bagi penggunaan awam, namun masih di bawah tahap yang diperlukan untuk senjata nuklear.
Dalam laporan yang menjadi rujukan Amerika Syarikat dan Israel sebagai justifikasi serangan, IAEA menyatakan bahawa Iran tidak mematuhi kewajipan antarabangsa, namun tidak menemui bukti bahawa Tehran sedang membina bom nuklear.
Israel secara meluas dipercayai memiliki senjata nuklear, namun tidak pernah mengesahkan atau menafikannya secara rasmi.