Tiada perjanjian gencatan senjata

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata tiada perjanjian gencatan senjata dicapai dengan Israel setakat ini namun, jika Israel menghentikan serangan, maka Tehran juga akan menghentikan serangan balas.

“Setakat ini, tidak ada ‘perjanjian’ mengenai apa-apa gencatan senjata atau pengehadan operasi ketenteraan,” kata Araghchi yang dimuat naik di akaun media sosialnya, tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa satu perjanjian akan bermula hari ini.

Araghchi menambah: “Sekiranya rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya pukul 4 pagi waktu Tehran, kami tiada niat untuk meneruskan tindak balas selepas itu.”

Trump, semalam mengumumkan satu gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa, bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara.

Trump turut mencadangkan kedua-dua pihak diberi sedikit masa untuk menyelesaikan misi yang sedang dijalankan sebelum gencatan senjata dimulakan secara berperingkat.

“Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, seperti yang sepatutnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, atas ketahanan, keberanian dan keberanian mereka dalam menamatkan, apa yang seharusnya dikenali sebagai ‘PERANG 12 HARI’,” tulisnya menerusi laman Truth Social.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat hanya beberapa minit selepas kedua-dua pihak saling mengancam untuk melancarkan serangan baharu.

Related posts

Leave a Comment