IBADAH Haji 2025 (1446H) sudah berakhir tanpa sebarang insiden. Jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula meninggalkan Makkah atau Madinah. Pastinya mereka meninggalkan dua kota suci dengan harapan akan kembali lagi.
Walaupun kembali bukan untuk ibadah haji, setiap jemaah tetap berdoa agar mereka dijemput lagi walaupun sekadar umrah dan ziarah.
Apa yang pasti, rata-rata jemaah akan merindui sesuatu yang ditinggalkan bukan sekadar Baitullah dan Raudhah, tetapi juga merindui jalinan ukhwah yang terjalin, yang tidak mengenal batas usia, pangkat atau profesionalisme.
Bagi menyambut kepulangan jemaah khususnya yang menyertai pakej Andalusia Travel & Tours (Andalusia), Pengarah Urusannya Ibrahim Mat Sin menitipkan rasa rindu melalui puisi bertajuk RINDU.
Puisi merupakan satu rangkuman perjalanan ibadah haji bermula di hotel penginapan sehinggalah ke lokasi ibadah termasuk Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Setakat ini lebih 350 daripada 573 jemaah haji Andalusia selamat tiba di tanah air bermula 17 Jun 2025 selepas 46 hari di Tanah Suci bagi menyempurnakan ibadah itu bagi musim 1446H/2025.
Berikut Puisi RINDU nukilan Ibrahim
RINDU…
Terjatuh…
Setitik air mata ke riba,
Tandanya…
Aku mula menangis.
Bukan kerana luka,
Bukan kerana marah,
Tiada caci,
Tiada herdik,
Tiada sesiapa yang melukai hati ini.
Namun…
Saat pintu bilik ditutup perlahan,
Lif terbuka di lantai kenangan,
Langkah kaki melangkah keluar dari pintu hotel —
Aku mendongak…
Melihat tangga yang kita naiki bersama,
Tempat duduk yang pernah menyaksikan cerita kita…
Air mata ini tumpah, deras dan jujur.
Hati ini mula dilanda rindu…
Rindu pada Baitullah yang agung,
Rindu padaMu,
Ya Rasulullah —
Warkah perjuanganmu hidup dalam setiap langkah kami.
Aku juga rindu…
Arafah yang sunyi tapi penuh makna,
Mina yang sesak tapi menguji sabarnya kita,
Aziziah yang sederhana tapi bersatu hati bemabit dimasjid Khif.
Kita di sana…
Satu semangat, satu jiwa,
Mengharap mabrur yang tak ternilai.
Aku rindu…
Pada ukhwah yang terbina,
Dari asing menjadi sahabat tanpa darjat,
Dari nama yang tak dikenali menjadi insan yang dirindui.
Aku rindu…
Barisan petugas yang tidak pernah mengeluh,
Yang sabar, yang setia,
Yang memimpin tangan kami dalam sunyi dan hening.
Rindu…
46 hari kita bersama,
Tertawa, menangis, berserah, berdoa.
Dan hari ini, kita berpisah…
Namun semua itu kekal ,
Kekal…
Dalam hati, dalam ingatan, selama-lamanya.
Kelak di kampung halaman…
Pandanglah sepohon kelapa,
Jika daunnya melambai lembut,
Itulah tanda…
Lambaian hati kita yang tak pernah jauh.
Lambaian kasih yang bisa kembali,
Bila ada masa… bila ada rasa…
Sejujurnya,
Aku rindu.
Aku sangat rindu.
Nukilan dari
Hj Ibrahim Mat Sin
Pengarah Urusan
Andalusia Travel & Tours