Ketegangan Israel-Iran semakin memuncak

TEHRAN – Ketika ketegangan semakin memuncak, yang memasuki hari kelima, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahukan satu pengakhiran sebenar terhadap konflik antara Israel dan Iran, bukannya sekadar gencatan senjata.

Walaupun pelbagai pihak meminta ketegangan dikurangkan, kedua-dua negara belum menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan serangan, apabila Israel melancarkan kempen udara luar biasa ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran.

Jet pejuang Israel menyerang beberapa lokasi ketenteraan di Iran, menyebabkan kematian seorang komander kanan dan mencetuskan serangan balas peluru berpandu dari Iran.

Tentera Israel mendakwa bunyi letupan kedengaran di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis sejurus selepas siren serangan udara dibunyikan di banyak kawasan di negara itu.

Tentera udara Israel memaklumkan mereka melaksanakan operasi pemintasan dan serangan di lokasi yang perlu bagi menghapuskan ancaman.

Pihak berkuasa Israel pula berkata, orang ramai perlu meninggalkan tempat perlindungan selepas serpihan roket dilaporkan jatuh di kawasan Tel Aviv dan pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang tercetus di kawasan terbabit.

Israel berkata, pihaknya memusnahkan beberapa lokasi peluru berpandu dan dron di barat Iran, termasuk kemudahan infrastruktur, pelancar serta pusat simpanan, dengan rakaman video menunjukkan beberapa lokasi meletup dalam serangan berkenaan.

Gelombang baharu serangan Israel ke atas Tehran termasuk satu serangan dramatik ke atas ibu pejabat televisyen negara yang menurut penyiar itu menyebabkan tiga maut dan memaksa kedua-dua pihak mengaktifkan sistem pertahanan peluru berpandu sepanjang malam.

Menurut agensi berita Fars, satu serangan siber hari ini dilaporkan sudah melumpuhkan Sepah Bank, salah satu bank milik kerajaan utama di Iran.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment