GKUM tolak ‘Payung  Besar Melayu’

KUALA LUMPUR 18 Jun- Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM) gabungan 10 badan bukan kerajaan (NGO) menolak “Payung Besar Kepimpinan Melayu” yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusinya, Amidi Abdul Manan yang juga Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata, GKUM menolak gerakan Sekretariat Orang Melayu itu kerana ia bertitik tolak daripada politik kebangsaan yang sempit.

Dalam kenyataannya, Amidi memaklumkan aspirasi GKUM itu turut disokong bersama oleh PKR, Majlis Agama UMNO Malaysia dan Amanah.

Sepuluh NGO itu adalah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah); Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM).

Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70);  Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM);  Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara) dan Pertubuhan ISLAMI.

Amidi berkata,  perpaduan rakyat adalah teras yang tidak boleh diketepikan, dirosakkan atau dipermainkan.

“Kami dengan ini menggerakkan hasrat kesejahteraan yang dinamakan GKUM dan menyeru sama ada pemimpin atau masyarakat berikhtiar mewujudkan keperibadian, politik, ekonomi, sosial, teknologi dan tadbir urus yang sejahtera,” katanya.

Menurutnya, semua pihak hendaklah mengutamakan keperibadian sejahtera, kekeluargaan bahagia, dan persekitaran sejahtera iaitu konsep kesejahteraan umat Islam yang menyeluruh melalui hikmah dan kebijaksanaan.

Katanya, keutamaan juga harus diberikan kepada politik sejahtera yang mengarah kepada kesatuan bukan memecah belah, tidak bermain sentimen sempit sehingga boleh menimbulkan kebencian serta tidak menggunakan bahan fitnah serta adu domba sesama umat.

Begitu juga mewujudkan ekonomi sejahtera agar kemakmuran negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh semua kelompok, tanpa ada yang tercicir atau pun diketepikan sama ada dari sudut kemudahan mahu pun agihan.

“Seterusnya adalah sosial sejahtera supaya keadilan sosial dapat ditegakkan, kehidupan individu mahu pun berkeluarga berada pada kualiti yang dibanggakan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Amidi berkata, keupayaan negara dalam mempelopori teknologi juga sangat penting kerana ia mampu memberikan impak kepada kelestarian kehidupan rakyat termasuk pengupayaan media sosial yang lebih harmoni.

“Urusan pentadbiran pula perlu meliputi kecekapan untuk mengekang gejala rasuah dan ketirisan dapat dibanteras untuk memelihara kesejahteraan hidup rakyat,,” ujarnya.

Beliau berkata aspirasi gerakan ini akan diperluaskan kepada pelbagai NGO, gerakan sivil, profesional, ilmuwan dan agamawan yang menyokong hasrat ini bersama demi kepentingan masa depan negara.

Terdahulu, pada 4 Jun lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu, yang disifatkannya sebagai platform untuk menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.

Bekas perdana menteri itu berkata, jawatankuasa tersebut diwujudkan bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejaskan masyarakat Melayu yang menurutnya gagal ditangani kerajaan semasa.

Terdahulu, Dr Mahathir mengadakan perbincangan berkenaan penubuhan secretariat itu bersama-sama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man

 

Nnnn

Related posts

Leave a Comment