KOTA KINABALU – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang orang awam dijangka didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan Op ADUN .
Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu, berkata ketiga-tiga individu terbabit dalam proses untuk ditangkap.
Katanya, mereka dalam proses dipanggil dan masih dalam proses untuk dirakam keterangan di bawah Kenyataan Beramaran sementara tarikh mereka perlu dikemukakan ke mahkamah tidak akan maklumkan sehingga proses selesai.
“Tetapi yakinlah, individu-individu ini akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini atau menjelang akhir bulan ini,” katanya yang turut bergantung kepada ketersediaan tarikh di mahkamah.
Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan Kelestarian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.
Terdahulu, SPRM melancarkan Op Adun bagi menyiasat pembabitan ADUN Sabah dalam isu pengeluaran lesen perlombongan bermula apabila beberapa siri video yang disunting diterbitkan dalam portal berita dalam talian pada November lalu.
Mengenai kesahihan video yang tular, beliau berkata, perkara itu tidak boleh diperincikan kerana ia kini dianggap subjudis.
“Saya serah kepada Timbalan Pendakwa Raya, yang akan menggunakan bukti itu di mahkamah jika mereka perlu menggunakannya.
“Tetapi yakinlah bahawa apabila menyiasat, kami tidak terlalu bergantung hanya pada bukti itu, sama ada ia tulen atau tidak. Kami juga perlu bergantung kepada beberapa bukti lain.
“Penjelasan bukan sahaja daripada audio visual, ia juga bergantung kepada penjelasan daripada manusia, manusia itu sendiri.
“Mesin forensik mungkin memberi penjelasan, tetapi kami juga perlukan manusia untuk mengesahkan ketulenan audio serta kandungannya atau visual berkenaan. Ini hal teknikal, jadi saya tidak mahu ulas panjang,” katanya.,” katanya.
Mengulas kemungkinan ada lagi individu yang akan didakwa, Azam berkata keputusan berkenaan akan ditentukan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Mengenai perancangan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mahu mengadakan protes antirasuah hujung minggu ini, beliau berkata tindakan itu terpulang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan.
Protes berkenaan yang dinamakan Gempur Rasuah Sabah 2.0 dijangka mengangkat beberapa isu termasuk kegagalan Jabatan Air Sabah membekalkan air, pelantikan semula Azam serta kes Op ADUN.
Nnn
