Biar GRS bertembung BN di PRN17

KOTA KINABALU 14 Jun – Setuju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, seperti saranan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Itu pandangan peribadi Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, sebagai reaksi kenyataan Ketua UMNO Sabah itu yang menegaskan hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, pertembungan antara kedua-dua gabungan parti merupakan pendekatan terbaik bagi menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat menentukan parti pilihan mereka.

Bung Moktar pada 3 Jun lalu menegaskan pihaknya perlu menilai secara teliti sebarang kerjasama dengan gabungan itu susulan dakwaan sejarah hitam pernah dilalui UMNO Sabah ketika bersama GRS.

Menurut Armizan, langkah tersebut juga mampu mengelakkan sebarang dakwaan bahawa kemenangan sesuatu pihak hanya bergantung kepada kekuatan gabungan tertentu.

“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa biarlah dalam PRN akan datang ini, GRS dan BN bertembung.

“Dengan menyerahkan kepada rakyat, maka sesiapa pun yang menang nanti tidak akan timbul tuduhan bahawa parti A menang kerana kekuatan parti B. Tiada lagi tuduhan khianat-mengkhianati.

“Biarlah kekuatan parti yang bertanding disandarkan kepada sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pendirian GRS setakat ini sebagaimana pernah disebut oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor adalah gabungan itu terbuka untuk meneruskan kerjasama parti-parti teras yang membentuk kerajaan negeri hari ini iaitu GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Kita wajar menghargai pendirian PH yang mengutamakan kestabilan dengan menolak Langkah Kinabalu dahulu dan memilih untuk menyokong Datuk Seri Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.

“Saya melihat hari ini kerajaan berjalan dengan amat baik melalui kombinasi kerjasama sedia ada. Saya fikir melihat kepada suara dan sentimen pemimpin dan pendukung GRS di akar umbi, mereka memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.

Katanya, kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang.

“Pertama, tidak ada terkandung dalam perjanjian persefahaman (MOU) pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa kerjasama itu wajib dipanjangkan ke peringkat negeri. PRN ini memilih kerajaan negeri dan bukannya Kerajaan Persekutuan.

“Kedua, apa yang penting adalah komitmen semua sebagaimana dalam MOU Kerajaan Perpaduan adalah pihak-pihak terbabit wajar memastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan perlu dikekalkan sehingga tempoh yang ditetapkan.

“Ketiga, pertembungan sesama parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya negeri bukan perkara baharu. Pernah berlaku di Sabah satu masa dahulu dan berlaku juga di Melaka dan Johor dalam PRN yang lalu,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment