SEPANG 13 Jun – Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kemungkinan berlaku penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan dan pendakwaan ke atas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, gesaan itu susulan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan jenayah tanpa perlu membela diri.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya terbukti, semua individu yang terlibat termasuk dalang utamanya mesti dikenakan hukuman yang berat.
Beliau juga menyatakan kebimbangan Malaysia berkemungkinan menjadi negara ‘gestapo’ dengan kewujudan individu tidak bertanggungjawab dalam agensi penguat kuasa yang terlibat dengan penguasa politik secara membuta tuli.
“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguat kuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya di Facebook
Khamis lalu, di Mahkamah Tinggi, Muhammed Yusoff, 32 dilepas dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff, di akhir kes pendakwaan.
Susulan pembebasan itu juga, Muhyiddin meminta pihak berkuasa memberi jaminan bahawa keselamatan Muhammed Yusoff akan dilindungi.
Beliau berkata, sejak awal lagi pendakwaan itu menimbulkan keraguan di mana kes ini berkait rapat dengan saman sivil Muhammed Yusoff ke atas Perdana Menteri berhubung dakwaan gangguan seksual.
“Bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk mensabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Muhammed Yusoff adalah amat diragui.
Ini menimbulkan persepsi awam bahawa pendakwaan ini adalah satu konspirasi jahat pihak-pihak tertentu untuk menutup mulut Yusof Rawther berkait saman sivilnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan ini.
“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti yang dikemukakan adalah direka untuk menyabitkan kesalahan…ini bukti jelas kebobrokan kuasa,” katanya.
Menurut beliau lagi, keadaan yang berlaku juga memperlihatkan bagaimana institusi negara dan undang-undang digunakan secara rakus tanpa rasa malu serta belas ihsan untuk menganiaya seorang rakyat yang tidak bersalah semata-mata bagi melindungi sang penguasa.
Lebih mengecewakan,, tuduhan jenayah berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup turut digunakan.
“Undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan p ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madani. Janji reformasi dan keadilan untuk semua adalah hipokrasi terbesar rejim ini,” katanya.
Nnnnn
