Perbankan Palestin berisiko lumpuh

BAITULMUQADDIS – Sistem perbankan Palestin berisiko lumpuh susulan tindakan Israel membatalkan pengecualian yang membolehkan bank-bank Israel menjalankan urusan dengan institusi kewangan Palestin.

Kementerian Kewangan Israel memaklumkan, perkara itu dibuat susulan tindakan Pihak Berkuasa Palestin yang didakwa cuba menjejaskan kedudukan Israel di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich mengarahkan Akauntan Negara, CPA Yahli Rotenberg untuk membatalkan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada bank-bank Israel yang menjalinkan urusan dengan bank-bank di wilayah Pihak Berkuasa Palestin.

Smotrich sebelum ini pernah mengancam untuk memutuskan hubungan penting antara bank Israel dan Palestin di Tebing Barat yang diduduki, sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan negara Palestin oleh tiga negara Eropah pada Mei 2024.

Sistem kewangan dan perbankan Palestin sangat bergantung kepada pembaharuan pengecualian ini secara berkala, yang melindungi bank-bank Israel daripada tindakan undang-undang berkaitan urus niaga dengan institusi kewangan Palestin termasuk kemungkinan dikaitkan dengan pembiayaan keganasan.

Pada Julai lalu, negara-negara G7 menggesa Israel supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesinambungan sistem kewangan Palestin.

Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Janet Yellen memberi amaran pemutusan hubungan perbankan ini boleh mencetuskan krisis kemanusiaan.

Majoriti urus niaga di Tebing Barat dilakukan dalam mata wang shekel, iaitu mata wang Israel, kerana Pihak Berkuasa Palestin tidak memiliki bank pusat yang membolehkan mereka mencetak mata wang sendiri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment