Lagi ditembak berhampiran tempat agihan

GAZA – Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera selepas ditembak tentera Israel ketika ribuan penduduk yang dipindahkan menghampiri tapak agihan bantuan di tengah Gaza semalam.

Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum operasi mereka bermula dan merujuk sebarang pertanyaan lanjut kepada tentera Israel.

GHF berkata, agihan bantuan pada Selasa berjalan lancar di tiga lokasi di selatan dan tengah Gaza.

Tentera Israel dalam kenyataan berkata, mereka melepaskan tembakan amaran ke arah “suspek yang mendekati kawasan Wadi Gaza dan dianggap mengancam keselamatan pasukan tentera.”

Tembakan itu dilepaskan beberapa ratus meter dari tapak agihan bantuan, sebelum waktu operasi bermula dan menegaskan jumlah korban yang dilaporkan pihak kesihatan tempatan tidak selari dengan maklumat yang dimilikinya.

Sebelum ini, tentera Israel menuduh pejuang Hamas sengaja mengganggu proses agihan bantuan kemanusiaan.

Minggu lalu tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyat Palestin supaya tidak menghampiri laluan ke tapak GHF antara jam 6 petang hingga 6 pagi waktu tempatan dan mengisytiharkannya sebagai zon ketenteraan tertutup.

Sementara itu, Ketua Agensi Bantuan Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini mengecam sistem agihan bantuan sedia ada yang menurutnya bersifat memalukan dan tidak berperikemanusiaan.

“Hari demi hari, mangsa dan puluhan yang cedera dilaporkan di tapak agihan yang dikawal Israel dan syarikat keselamatan swasta,” katanya di platform X.

Beliau berkata, sistem ni memaksa ribuan rakyat yang lapar dan terdesak berjalan puluhan kilometer – sekali gus mengetepikan golongan paling lemah dan yang tinggal terlalu jauh.

Nnn

Related posts

Leave a Comment