KUALA LUMPUR 11 Jun – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) tahun ini bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dengan mengekalkan logo Malaysia MADANI sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.
Seperti tahun lalu, sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung pada 16 September di Pulau Pinang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata tema itu menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menjunjung nilai perpaduan dan kesejahteraan.
“Beberapa acara utama telah disusun untuk menyemarakkan semangat jiwa merdeka antaranya Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri di sini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia bertepatan dengan amalan penggiliran iaitu setiap tahun lokasi ditukar sama ada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Mengenai sambutan HKHM2025, Fahmi berkata, terdapat 14 program sisipan akan dilaksanakan antaranya Kira Detik Merdeka, Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 dan Wayang Pacak Merdeka.
Selain itu, beliau berkata, pengenalan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan tahun lalu bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengibar Jalur Gemilang akan diteruskan dengan penambahan dua kluster baharu iaitu kluster industri dan kluster agensi kerajaan.
“Pada 2024, kita berjaya melaksanakan program ini membabitkan lima kluster dengan jumlah keseluruhan 698 program. Sebelum ini, lima kluster yang terbabit ialah Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Kesihatan, Keselamatan dan Komuniti.
“Program ini menggalakkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, pejabat, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan kenderaan persendirian,” katanya sambil mengingatkan orang ramai menjaga etika penggunaan Jalur Gemilang, termasuk tidak menggunakan bendera yang rosak atau koyak.
Maklumat lanjut mengenai sambutan, lokasi program serta bahan kempen boleh didapati melalui portal rasmi Merdeka360.
Nnnn
