Singapura catat 11 kes import

SINGAPURA 30 Jun – Singapura melaporkan lima kes jangkitan tempatan Covid-19 dan 11 kes import setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 62,579 kes dengan 36 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan, kesemua kes tempatan itu ada hubung kait dengan kes sebelumnya dan sudah dikuarantin.

Bagi 11 kes import pula, enam kes dikesan sebaik tiba di Singapura manakala lima lagi mula jatuh sakit semasa menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Sementara itu, mulai 11.59 malam Jumaat (2 Julai), rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Australia sepanjang tempoh 21 hari sebelum berangkat ke Singapura perlu menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19 setibanya di Singapura.

Mereka harus menjalani tempoh SHN di kediaman sendiri dan mengambil ujian PCR sekali lagi sebelum selesai tempoh SHN tamat.

Bagi para pelawat jangka pendek, pemegang Pas Perjalanan Udara dengan sejarah perjalanan ke Australia sepanjang 21 hari yang lalu sebelum berangkat ke Singapura tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Di samping itu, kesemua pelawat dengan sejarah perjalanan ke wilayah Guangdong di China dalam tempoh 21 hari sebelum berangkat ke Singapura akan menjalani ujian PCR Covid-19 setibanya di Singapura.

Mereka akan dibenarkan melakukan aktiviti di Singapura sekiranya hasil ujian PCR negatif, dan tidak lagi perlu menjalani SHN.

Related posts

Leave a Comment