Pemandu ada rekod 13 saman pandu laju

KUALA LUMPUR 10 Jun – Sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman itu, sebanyak 13 atas kesalahan memandu laju, tiga tidak memakai tali pinggang keledar, manakala satu masing-masing iaitu tiada lampu brek ketiga dan terlibat dalam kemalangan.

Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan.

Katanya, siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik di mana 16 rekod saman ke atas bas terbabit sudah dijatuh hukum, manakala baki lima saman masih dalam siasatan.

Semalam, PDRM dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas UPSI di JRTB.

Mohd Yusri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.

“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya.

Semalam, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas mereka naiki yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbabas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment