GAZA – Sambutan Krismas kali ini di Bandar Gaza suram, tiada lagi cahaya lampu bergemerlapan, hiasan perayaan, mahupun pokok Krismas besar yang pernah menghiasi bandar itu selama beberapa dekad.
The Square of the Unknown Soldier yang dahulunya meriah dengan sambutan perayaan, kini musnah menjadi runtuhan akibat serangan udara berterusan Israel.
Ratusan penganut Kristian di Bandar Gaza yang musnah akibat peperangan berkumpul di sebuah gereja semalam, berdoa supaya konflik yang memusnahkan sebahagian besar wilayah Palestin itu segera berakhir.
Di tengah-tengah kehancuran itu, sebahagian penduduk mencari ketenangan walaupun pertempuran terus berlaku di sepanjang di kawasan pesisiran pantai berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sebahagian daripada gereja itu sendiri musnah dalam serangan udara Israel pada Oktober tahun lalu, yang mengorbankan 18 penganut Kristian Palestin.
Kira-kira 1,100 penganut Kristian tinggal di Gaza, sebuah komuniti kecil yang turut menjadi mangsa peperangan sejak 7 Oktober tahun lalu apabila pertempuran antara Israel dan Palestin tercetus.
Menurut agensi pertahanan awam wilayah itu, serangan udara terbaharu Israel, termasuk yang mengorbankan beberapa kanak-kanak, menerima kritikan keras daripada Paus Francis.
“Dengan rasa sedih, saya teringatkan Gaza, kekejaman yang begitu meluas, kanak-kanak yang ditembak, pengeboman sekolah dan hospital. Begitu kejam,” katanya.
Bagaimanapun Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dilaporkan mengkritik kenyataan Paus itu.
