BESUT 10 Jun – Lebih 3,000 orang melaksanakan solat jenazah 13 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Masjid Hadhari, Jertih kira-kira pukul 3.15 pagi.
Solat diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Masjid ini adalah lokasi sama mereka berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga pukul 9 malam kelmarin untuk menaiki bas pulang ke UPSI Tanjung Malim, sebelum terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) awal pagi semalam.
Awal pagi ini, keluarga mereka sekali lagi ‘berkumpul’ berselang masa 30 jam untuk menyambut kepulangan insan tersayang ke kampung halaman, namun bezanya perpisahan kali ini adalah pemergian abadi.
Suasana sedih dan pilu malahan ada ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik saja melihat jenazah diusung masuk ke kawasan masjid untuk dibawa ke dewan Masjid Hadhari bagi solat jenazah.
Semua mangsa dikebumikan di kampung masing-masing pagi ini.
Dua jenazah terawal tiba dari Hospital Gerik di Besut kira-kira pukul 10.40 malam tadi.
Jenazah Muhammad Adib Azim Halim, 21, disolatkan di Masjid Hadhari Jertih dan selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak di Hulu Besut, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Manakala jenazah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, dibawa terus ke kampung halamannya di Kampung Amir untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amir, tengah malam tadi.
Nnn
